fbpx

JMC Vigus Pro dilancar, trak pikap bawah RM100k!

jmc vigus pro 04

ANGKA-TAN Motor Sdn Bhd (ATM) hari ini melancarkan secara rasmi JMC Vigus Pro sekaligus mendedahkan harga trak pikap itu. Ia akan dijual pada harga cadangan RM98,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM100,888 untuk Sabah dan Sarawak (kedua-dua harga atas jalan tanpa insurans).

“Sama ada untuk tujuan kerja atau riadah, Vigus Pro bersedia untuk memenuhi keperluan pengguna trak pikap di Malaysia selepas membuktikan ianya sebagai trak pikap kedua paling laris di pasaran China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd dan Pengarah Eksekutif Angka-Tan Motor, Tan Keng Meng.

JMC Vigus Pro dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo diesel dengan VGT, mampu menjana 141hp pada 3,600rpm dan 340Nm tork pada 1,500 hingga 2,600rpm.

Kotak gear adalah unit automatik 8-kelajuan dari ZF, dan kuasa dihantar melalui sistem pacuan empat-roda 4WD BorgWarner dengan mod 2H, 4H dan 4L.

Menurut JMC, trak pikap ini menawarkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 7.8 liter/100km atau 12.8km/liter.

Vigus Pro dibina menggunakan kerangka jenis ladder frame yang mampu menampung beban sehingga 850kg. Struktur tegar itu turut menjadi komponen keselamatan jika berlaku kemalangan.

JMC Vigus Pro hadir dengan gril berbentuk heksagon bersaiz besar bersama kemasan krom, lampu utama nipis dan DRL LED berbentuk-C yang meningkatkan lagi profail bampar hadapannya.

Vigus Pro dipasang dengan sports bar bersama lampu brek ketiga, pemijak sisi, cermin sisi berkuasa dengan lampu signal, dan rim aloi dwi-tona bersaiz 16-inci.

Gayaan rugged Vigus Pro juga ditingkatkan dengan kemasan pada bahagian bawah bampar belakang yang sporti. Pemijak kaki disepadukan dengan bampar belakang untuk memudahkan akses ke ruang kargo luas.

Bahagian kabin JMC Vigus Pro mendapat penukar gear elektronik yang pertama dalam kelasnya, mirip seperti kereta jenama premium.

Vigus Pro didatangkan dengan sistem infotainmen yang terdiri daripada skrin sentuh warna bersaiz 8-inci, sambungan Bluetooth, pemain video MP5 dan kamera undur.

Kemudahan-kemudahan lain yang hadir sebagai ciri standard pada Vigus Pro termasuklah cermin sisi kuasa boleh dilipat dan tingkap yang boleh dioperasi dari jauh.

Ciri keselamatan adalah seperti Hill Start Assist, ABS dengan Electronic Brake-Force Distribution, dan Electronic Stability Program dengan Traction Control.

JMC Vigus Pro ditawarkan dalam satu varian dengan empat pilihan warna – Steady Brown, Solid White, Brilliant Silver, dan Glossy Black. Ia juga hadir dengan jaminan selama tiga tahun/100,000km, mana-mana tiba dahulu.

JMC Vigus Pro merupakan model CKD, dipasang di kilang moden Tan Chong Motor di Serendah, Selangor. Ia kini sudah boleh dilihat dan dipandu uji di semua 13 pengedar ATM di seluruh negara yang turut merangkumi rangkaian 13 bengkel perkhidmatan selepas jualan.

Penyerahan kenderaan baharu kepada pelanggan dijangka bermula pada akhir Oktober 2021.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved