Keadaan kereta Lamborghini Gallardo dipandu Abdul Rahman Abdullah selepas kemalangan pada 8 September lalu. - Foto ihsan PDRM

Lelaki pandu Lamborghini sehingga kemalangan dipenjara dua minggu

LELAKI memandu kereta mewah jenis Lamborghini Gallardo sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Tun Razak berdepan hukuman penjara dan denda.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua minggu serta denda RM9,000 terhadap Abdul Rahman Abdullah, 28.

Keputusan dibuat mahkamah selepas Abdul Rahman mengaku bersalah menyebabkan kemalangan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Majistret Amanina Mohamad Anuar turut menetapkan Abdul Rahman tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun.

Abdul Rahman juga boleh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Abdul Rahman tidak mempunyai lesen memandu didakwa menyebabkan kemalangan serta kerosakan teruk kepada enam kenderaan lain pada 8 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga termasuk dua anak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *