fbpx

Perodua tingkatkan pengeluaran, catat 6,988 unit jualan untuk Ogos

perodua ativa

Perodua mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada Julai. Peningkatan ini berpunca daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada bulan September apabila keadaan kembali normal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Setakat tahun ini (year-to-date), Perodua mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5 peratus ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual untuk tempoh sama tahun lalu.

“Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan juga menambahbaik prosedur operasi kami untuk memastikan keselamatan para kakitangan dan pelanggan kami,” kata Dato’ Zainal.

“Berdasarkan faktor waktu dan sumber yang sedia ada, kami menurunkan sasaran jualan kami sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan tahun berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini,” tambah beliau.

“Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes Covid-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor,” kata Dato’ Zainal.

Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved