fbpx

Proton Saga Knight versi moden dilakar – lampu LED, grafik khas, logo retro

proton saga knight concept teaser 02

PADA 1989, Proton telah mengeluarkan Saga Knight iaitu satu edisi khas berdasarkan Saga Aeroback. Lebih 30 tahun kemudian, baru-baru ini Proton Saga Knight versi moden telah dilakar, menampilkan rekaan kontemporari disulami dengan elemen retro.

Tetapi lakaran ini bukanlah dari Proton, sebaliknya hasil karya Saharudin Busri untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Saharudin yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS Berhad memberitahu Engear bahawa imej-imej lakaran yang dikongsi ini adalah teaser dahulu. Rupa penuh Proton Saga Knight versi moden ini hanya akan didedahkan pada Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos depan.

Berkenaan lakaran Saga itu, dapat kita lihat ia mempunyai rekaan moden dan boleh dikatakan agak futuristik, sebagai contoh pada lampu depan LED bertitik yang dihubungkan oleh strip LED memanjang, rekaan bumbung terapung dengan tiang-A hitam, dan lampu LED belakang yang juga mendapat strip nipis memanjang.

Menariknya, elemen retro pula termasuklah gerbang roda yang bersegi, grafik merah oren pada sisi badan terus menunjukkan ia sebuah Saga Knight, dan lencana Proton di depan yang menyala dengan lampu. Memang ikonik dan mengimbau kenangan bila lihat lencana Proton yang asal ini.

Untuk bahagian dalam, Saharudin bekerjasama dengan sebuah syarikat jam tempatan, Artwist, dimana beliau menggunakan tema merah dan hitam. Rekaan ini diambil dari model edisi khas kumpulan Wings, satu sentuhan menarik.

Menurut Saharudin, dia memilih kereta Proton Saga kerana ia pernah menjadi ikon dan kebanggaan negara suatu masa dulu.

“Sempena Hari Kemerdekaan ini, saya rasa sangat sesuai untuk segarkan semula rekaan Saga lama menjadi lebih moden dan sesuai dengan trend masa kini,” kata Saharudin.

Rekabentuk 3D akhir untuk luaran dan dalaman akan dikongsi dan didedahkan pada 31 Ogos nanti. Saharudin juga akan berkongsi ilmu bagaimana membuat rekaan automotif terutama dari segi teknik penggunaan perisian 3D.

Apa pendapat anda mengenai versi moden untuk Proton Saga Knight ini? Kami akan kongsikan rupa akhir pada Hari Merdeka nanti.

Sementara itu, anda boleh tonton video lakaran di bawah:

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved