fbpx

Bercuti dengan Renault Trafic SpaceNomad

renault trafic spacenomad 01

ACARA Caravan Salon yang diadakan di Dusseldorf baru-baru ini menyaksikan kemunculan model campervan terbaharu dari Renault iaitu Trafic SpaceNomad. Bukan itu sahaja, syarikat itu turut menayangkan model berkonsepkan ‘hotel bergerak’ bergelar Hippie Caviar Hotel yang dibina berasaskan SpaceNomad.

Dibangunkan dengan kerjasama Pilote, iaitu sebuah syarikat pengeluar campervan terkenal dari Perancis, Trafic SpaceNomad boleh didapati dalam dua ukuran dan konfigurasi tempat duduk yang boleh menampung empat atau lima penumpang.

Kedua-dua versi didatangkan dengan bumbung jenis ‘pop up’ yang mempunyai tilam berukuran 120cm X 200cm, serta bangku pada bahagian belakang yang boleh ditukarkan menjadi katil 124cm X 188cm.

Di dalam, terdapat pelbagai kemudahan yang berguna untuk sesi aktiviti perkhemahan, termasuk  dapur pembakar berkembar, sinki serta peti sejuk berkapasiti 49 liter untuk penyimpanan bahan-bahan mentah. Turut disertakan adalah meja lipat yang boleh dipasang di dalam atau di luar, serta tirai untuk tujuan privasi.

Bukan itu sahaja, pengguna Trafic SpaceNomad juga boleh berlindung daripada cuaca panas atau hujan di bawah awning berukuran 220cm X 235cm. Mereka juga tidak perlu membuat unggun api untuk memanaskan badan memandangkan ruang kabinnya ditebat dan dilengkapi dengan ciri pemanas dan 12 unit lampu LED. Lebih menarik lagi, pancuran air mandi juga disediakan di luar.

Menurut Renault, model ini didatangkan dengan beberapa pilihan enjin dengan kuasa 110hp, 150hp atau 170hp. Bergantung kepada enjin yang dipilih, pelanggan boleh mendapatkan kotak gear manual atau automatik.

Kelengkapan lain yang disertakan termasuklah ciri-ciri bantuan pemandu seperti Active Emergency Braking, Lane Departure Warning, Driver Monitoring System, Blind Spot Warning,  serta sistem infotainmen yang terdiri daripada skrin sentuh lapan inci dengan sistem navigasi, Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pengetahuan, Trafic SpaceNomad telah diuji di Switzerland sejak tahun lalu lagi. Berikutan kejayaannya, Renault akan melancarkan model itu di Jerman, Austria, Perancis, Belgium dan Denmark pada awal tahun hadapan. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.

Sementara itu, Hippie Caviar Hotel menunjukkan potensi ubahsuai yang ada pada Trafic SpaceNomad. Ia direka berdasarkan konsep 1960an dan menyediakan perkhidmatan ala hotel bertaraf lima bintang.

Apa yang dimaksudkan adalah khidmat penghantaran makanan menggunakan dron, perkhidmatan rencam (concierge) serta penyediaan kontena logistik yang mengandungi kemudahan seperti tempat mandi, tandas dan port pengecas. Namun, ini adalah sekadar idea untuk model konsep tersebut dan setakat ini tiada rancangan untuk merealisasikannya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved