Polis masih mengesan kenderaan melanggar motosikal dinaiki kedua mangsa. - Foto ihsan Sarikei Virals

Remaja perempuan maut dilanggar lari ketika cari liputan internet

SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun maut selepas motosikal dinaiki dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Julau-Nanga Entabai, Sarikei, kelmarin.

Memetik laporan Bernama, kejadian turut menyebabkan seorang lagi rakan lelaki mangsa mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam@Sulin Brayun berkata, dua remaja terbabit dikatakan menuju ke sebuah kawasan perumahan baharu bagi mencari liputan internet.

Bagaimanapun, sebuah kenderaan lain secara tiba-tiba melanggar motosikal dinaiki kedua mangsa dari arah belakang.

“Motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan bergerak lurus menuju ke sebuah kawasan tapak perumahan baharu untuk mencari liputan internet (sebelum) dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan,” katanya.

Remaja perempuan berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Julau.

Setakat ini, jenis dan nombor pendaftaran kenderaan melanggar motosikal dinaiki mangsa belum dapat dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkuktan Jalan 1987.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *