Keadaan sebuah jengkaut yang terbalik selepas menghempap seorang lelaki di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Facebook/Melaka Hari Ini

Pemuda maut dihempap jengkaut pada hari pertama bekerja

MALANG tidak berbau.

Itu dapat disimpulkan terhadap nasib seorang pemandu jengkaut yang meninggal dunia akibat dihempap jentera berat dipandunya itu, semalam.

Apa yang menyedihkan kejadian berlaku pada hari pertama mangsa kembali bertugas setelah lama tidak bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, ketika insiden Mohamad Sabirin Umar dipercayai sedang meratakan tanah pertanian, lapor Bernama.

Bagaimanapun, jengkaut dikendalikan mangsa dikatakan tidak stabil sebelum terbalik dan menghempapnya.

“Mangsa ditemukan maut di tempat duduk pemandu jengkaut berkenaan dalam keadaan meniarap dan kepalanya tersepit di bahagian bumbung jentera tersebut.

“Mangsa baharu memulakan pekerjaan sebagai pemandu jengkaut hari ini setelah lama tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *