fbpx

MotoGP: Sampai bila pelumba Malaysia terus ‘sendu’?

Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. - Foto ihsan Facebook/MotoGP
Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. - Foto ihsan Facebook / MotoGP

PELUMBA MotoGP Marc Marquez membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ selepas berjaya menjuarai GP Jerman, semalam.

Setelah lebih 581 hari gagal menaiki podium, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut mencipta rekod kemenangan 11 kali berturut-turut di litar Sachsenring.

Satu kejayaan membanggakan!

Semangat kental ditunjukkan Marquez membuatkan penulis terfikir bagaimana beliau mengharungi detik sukar selepas berdepan kemalangan di litar Jerez, tahun lalu.

Apakah rahsia pelumba berusia 28 tahun ini? Bagaimana beliau terus cuba ‘bangkit’ menyaingi pelumba lain yang jauh lebih muda?

Apa pun rahsia dan taktikal Marquez, ia harus menjadi contoh terutama kepada pelumba motosikal negara kita.

Pelumba MotoGP Marc Marquez memenangi GP Jerman, semalam
Pelumba MotoGP Marc Marquez memenangi GP Jerman, semalam. – Foto ihsan Facebook/Marc Marquez

Di mana pelumba Malaysia?

Sudah tiba masa pelumba Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga mampu memberi saingan dalam perlumbaan berprestij itu.

Mungkin ada di kalangan mereka memberi 1001 alasan. Bermula masalah jentera sehingga ke isu peribadi.

Namun, sampai bila isu sebegini harus membelenggu pelumba negara?

Minggu lalu, penulis sempat berbual bersama pelumba Syariffudin Azman a.k.a Damok selepas berjaya memenangi Perlumbaan Moto3 Kejuaraan Remaja Dunia di Catalunya.

Antara soalan ditanyakan kepada Damok, “apakah makanan paling dirindui?”.

Soalan itu mungkin tampak simple tetapi bagi seorang atlet seperti Damok ia bukan perkara main-main.

Berjauhan bersama keluarga dan meninggalkan kehidupan sebagai ‘orang Malaysia’, ia bukan suatu yang mudah.

Damok terpaksa mencari alternatif lain dengan menjadikan spaghetti pula sebagai makanan kegemaran.

Di sini dapat dilihat bagaimana pelumba ini membiasakan diri di negara orang demi karier dan kerjaya diceburi.

Justeru, isu remeh sepatutnya tidak menjadi halangan kepada pelumba negara untuk bersinar.

Pelumba muda negara Syarifuddin Azman, 20, mengucapkan terima kasih di atas sokongan diberi seluruh rakyat Malaysia
Syarifuddin Azman antara pelumba negara yang semakin menyinar. — Foto ihsan Facebook/Damok

Elak lima perkara ini

Meminati sukan motosikal terutama MotoGP, ada beberapa pandangan ingin penulis lontarkan.

Mungkin ada yang setuju dan tidak hairan jika ramai juga tidak bersetuju. Terpulang kepada anda untuk membuat penilaian.

Bagaimanapun, ini antara lima saranan penulis kepada semua pelumba negara kita.

1. Berhenti beri alasan remeh

Sudah tiba masa mana-mana pelumba berhenti beri alasan remeh setiap kali gagal dalam perlumbaan.

Alasan seperti tayar hilang cengkaman, jentera tidak stabil dan sejuta lagi masalah harus dihentikan.

Penulis pasti Valentino Rossi pun pernah berdepan masalah ini namun, beliau masih mampu bergelar legend MotoGP!

2. Elak luah isu peribadi di media sosial

Sikap segelintir pelumba yang sering menggunakan platform media sosial untuk ‘meluah perasaan’ perlu dielak.

Perlu diingat, anda pelumba bertaraf dunia. Maka, bersikaplah seperti atlet bertaraf dunia!

Peminat tidak ingin tahu masalah anda, apa yang mereka mahu lihat kejayaan demi kejayaan.

3. Sikap tunding jari

Pelumba yang berjiwa besar sebolehnya akan cuba untuk tidak menunding jari kepada pihak lain.

Sebagai contoh, sampai bila pelumba kita perlu bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata?

Penulis percaya, jika pelumba bersikap profesional dan menunjukkan semangat kesukanan tinggi maka puluhan pihak mahu tampil memberi tajaan!

4. Jangan cepat selesa

Elak untuk berasa mudah selesa dengan kejayaan dikecapi. Pelumba sepatutnya menanam rasa ‘tertekan’ dengan kejayaan dirai.

Hal ini kerana kejayaan tidak seharusnya terhenti dan perlu mempunyai kesinambungan.

Jika hari ini pelumba menaiki podium, perlumbaan seterusnya hal sama juga perlu berlaku.

5. Jangan sombong

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘sombong’ ini?

Pelumba perlu elak daripada mempunyai sikap tidak boleh ditegur.

Buka minda dan hati anda untuk sebarang kritikan. Percayalah, semua kritikan adalah untuk kebaikan pelumba.

Itu antara saranan tak seberapa daripada penulis demi sukan permotoran negara.

Semoga satu hari pelumba negara kita sebaris nama besar atlet MotoGP lain seperti Rossi, Marquez, Fabio Quartararo dan ramai lagi.

Jangan sentap okey!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved