fbpx

Potong dawai duri untuk rentas negeri, tiga lelaki kena cekup

Polis melakukan kawalan ketat bagi mengelak sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah
Polis melakukan kawalan ketat bagi mengelak sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah.

PENINGKATAN kes Covid-19 saban hari tidak cukup untuk menginsafkan tiga lelaki yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ia susulan tindakan mereka yang cuba merentas negeri menerusi laluan tikus di sempadan Hulu Bernam – Tanjung Malim, semalam.

Tindakan pantas pihak polis melakukan rondaan di kawasan itu berjaya menahan tiga lelaki terbabit yang mana dua daripadanya merupakan warga Indonesia.

Siasatan mendapati kesemua mereka mengaku memotong kawat duri dipasang pihak berkuasa bagi merentas negeri untuk bersiar-siar.

“Ketiga-tiga lelaki itu mengaku memotong dawai yang mengikat kawat duri untuk melintas dari arah Changkat Asa, Hulu Bernam ke Kampung Lambak, Tanjung Malim.

“Hasil semakan mendapati seorang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal melebihi masa serta seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Manakala seorang lelaki tempatan mempunyai rekod lampau melibatkan Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” memetik kenyataan polis seperti dilaporkan Bernama.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lima mukim di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu sejak 22 Mei lalu.

Antara mukim tersebut adalah:-

  • Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak
  • Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama
  • Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor
  • Tanjong Rambutan di daerah Kinta
  • Hulu Bernam Timur di daerah Muallim

Sebelum ini, kerajaan menetapkan larangan aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

Arahan berkuatkuasa bermula 10 Mei sehingga 6 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang tempoh itu aktiviti berkaitan sosial tidak dibenarkan.

Ia termasuk aktiviti yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam.

Susulan arahan kerajaan ini, maka secara tidak langsung aktiviti seperti konvoi motosikal atau kereta juga tidak dibenarkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved