Warner Bros akan hasilkan 10 unit Tumbler dari trilogi Dark Knight, harga RM13 juta


Kepada peminat tegar Batman, khususnya trilogi Dark Knight yang dibintangi oleh Christian Bale, ini peluang anda untuk memiliki Tumbler anda sendiri!
Warner Bros. Discovery Global Consumer Products (WBDGCP) mengumumkan ia akan menghasilkan 10 unit replika Tumbler saiz sebenar yang boleh dibeli oleh orang ramai.
Apa yang lebih menarik, jentera itu ditawarkan dan boleh ditempah menerusi syarikat barangan mewah yang dikenali sebagai Wayne Enterprises Experience. Ya, ia sebuah syarikat sebenar yang dioperasikan oleh Relevance International dengan kerjasama WBDGCP.
Seperti yang dikatakan, Tumbler ini adalah replika saiz sebenar, bermakna ia boleh dipandu cuma anda tidak boleh membawanya ke pasar atau menghantar anak ke sekolah kerana secara teknikalnya, ia tidak sah untuk digunakan di jalan raya.
Ia mempunyai casis tiub yang diperbuat daripada keluli aeronautik, manakala setiap panel badan diperbuat daripada gabungan Kevlar, gentian karbon, gentian kaca dan kepingan logam.
Seperti yang anda boleh lihat, ia memang nampak seperti Tumbler yang sebenar, lengkap dengan turbin jet di belakang tetapi sudah tentulah ia palsu dan tidak boleh menghamburkan api seperti di dalam filem.
Tumbler akan menggunakan enjin LS3 6.2-liter V8 yang boleh menghasilkan 525 hp dan 659 Nm, bersama transmisi automatik 4L85E GM yang boleh dioperasikan menerusi paddle shifter.
Berat keseluruhan jentera ini adalah kira-kira 2.5 tan – memang berat tetapi masih lagi ringan jika dibandingkan dengan Cybertruck yang mempunyai berat sekitar tiga tan.
Untuk ruang dalaman, Warner Bros. berkata ia akan menampilkan dua tempat duduk, abah-abah lima poin dan beberapa skrin. Pelanggan juga boleh kustom mengikut citarasa masing-masing.
Berapa harganya? Seperti yang boleh dijangka, kenderaan yang unik seperti ini bukan murah dan anda perlu mempunyai tahap kekayaan yang hampir sama dengan Bruce Wayne kerana menurut Warner Bros., setiap unit dijual pada harga $2,990,000 (RM13 juta).

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.