Brabus Rocket GTS adalah SL63 dengan badan shooting brake, boleh capai 317 km/j!


Tidak pernah penulis terfikir yang sebuah roadster seperti Mercedes SL boleh dijelmakan semula sebuah menjadi shooting brake namun nampaknya tidak ada yang mustahil dengan Brabus.
Ya, percaya atau tidak, jentera yang dikenali sebagai Rocket GTS ini asalnya adalah sebuah Mercedes-AMG SL63 S E Performance.
Anda mungkin tidak mengenalinya kerana bumbung soft top convertible-nya telah digantikan dengan bumbung tetap, cermin yang condong dan tailgate.
Apa yang lebih mengagumkan, keseluruhan badan, ini termasuk hud, bampar, dapra, tiang dan bumbung, diperbuat dari gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, apron depan, diffuser belakang, bilah aero pada rim Monoblock P Platinum Edition, serta muncung ekzos juga dihasilkan dari bahan ringan itu demi menjaga berat.
Bercakap tentang berat, Brabus tidak menyatakan berat keseluruhannya namun tekaan kami ia jauh lebih ringan berbanding kereta asal yang mempunyai berat sekitar 2,195 kg.
Menurut syarikat itu lagi, Rocket GTS telah menjalani ujian terowong angin bagi memastikan ia kekal stabil pada kelajuan 300 km/j dan ke atas.
Apron depan bertindak untuk mengurangkan daya angkat, manakala bumbung yang rata, spoiler ekor itik dan rekaan diffuser belakang yang agresif membantu meningkatkan downforce pada kelajuan tinggi.
Corong pengambilan udara yang besar pula membantu menghalakan aliran udara ke arah radiator dan brek depan bagi membantu penyejukan.
Seperti SL 63, bahagian dalaman Rocket GTS masih mampu memuatkan empat penumpang dengan konfigurasi 2+2.
Bukan itu sahaja, dengan membuang mekanisma bumbung convertible, Brabus berjaya menghasilkan ruang kargo yang lebih besar di belakang ruang kabin.
Seperti kebanyakan rekaan Brabus yang lain, bahagian kokpit dinaik taraf dengan kemasan gentian karbon, upholsteri Alcantara dan kulit lembut, serta logo Brabus.
Sesuai dengan namanya, Rocket GTS dipacu oleh enjin hibrid twin-turbo V8 SL 63 yang telah diperbesarkan dari 4.0 liter kepada 4.5 liter. Apabila digabungkan dengan motor elektrik pada gandar belakang, jentera ini mempunyai 1,000 PS dan 1,820 Nm!
Namun bagi menjaga transmisi, Brabus mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah tork kepada 1,620 Nm ‘sahaja’.
Walaupun begitu, kereta ini masih mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.6 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 9.5 saat dan 0 hingga 300 km/j dalam 23.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik 317 km/j – adakah ini bermakna ia boleh pergi lebih laju?
Setakat ini, harga serta jumlah yang akan dihasilkan tidak diketahui.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.