fbpx

Subaru Chiffon Try kei car comel tapi rugged, harga bawah RM50k

Subaru Chiffon Try 02

Subaru Chiffon merupakan kei car berasaskan Daihatsu Tanto yang telah berada dalam pasaran Jepun sejak 2016 lagi.

Kini, dengan minat yang semakin meningkat dalam gaya hidup outdoor, Subaru memperkenalkan versi lebih rugged yang dikenali sebagai Chiffon Try.

Bentuk asas Chiffon masih dikekalkan namun seperti yang boleh dilihat, versi Try ini tampil lebih lasak dengan skid plate, serta kemasan plastik hitam pada bahagian bampar depan, bampar belakang dan sisi.

Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan rel bumbung. Untuk warna pula, terdapat 11 pilihan yang ditawarkan termasuk lima warna baharu iaitu Black Mica Metallic/Lake Blue Metallic, Black Mica Metallic/Sand Beige Metallic, Black Mica Metallic/Forest Khaki Metallic, Lake Blue Metallic dan Forest Khaki Metallic.

Dengan ukuran panjang kira-kira 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,755 mm dan tapak roda 2,460 mm, Chiffon Try sememangnya kecil namun penumpang boleh masuk ke dalam dengan mudah kerana ia tidak mempunyai tiang B.

Rekaan ini digelar sebagai ‘Miracle Open Door’ dan ia turut menggabungkan pintu gelongsor elektrik untuk memudahkan lagi penumpang masuk dan keluar.

Rekaan ruang dalaman tidak jauh berbeza dengan versi asas namun sebagai model yang dikhususkan untuk aktiviti luar, Chiffon Try didatangkan dengan upholsteri kalis air pada kesemua tempat duduk.

Selain itu, Chiffon Try juga menawarkan konfigurasi tempat duduk yang fleksibel di mana kerusi hadapan boleh digelongsorkan ke belakang sehingga 540 mm.

Bukan itu sahaja, kerusi hadapan juga boleh dibaringkan sepenuhnya bagi membolehkan penumpang beristirehat serta memasukkan barangan yang panjang seperti papan luncur air.

Untuk memaksimumkan ruang kaki belakang atau ruang kargo, kerusi belakang juga boleh digelongsorkan sehingga 240 mm.

Chiffon Try dikuasakan oleh enjin 660 cc tiga silinder yang mampu menjana 52 PS dan 60 Nm. Transmisi jenis CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh mendapatkan versi pacuan semua roda (AWD).

Harga jualan di Jepun bermula dari 1,665,000 yen (RM48,171) untuk versi 2WD dan 1,765,000 (RM51,064) untuk versi AWD.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved