Setelah beraksi di litar, Kia Tasman kini diuji di padang pasir Al Qudra


Anda mungkin sudah tahu bahawa Kia sedang sibuk membangunkan trak pikap pertama mereka yang dikenali sebagai Tasman.
Dalam perkembangan terbaru, syarikat itu berkata Tasman kini sedang menjalani fasa ujian peringkat seterusnya di gurun Al Qudra, Emiriah Arab Bersatu.
Sebelum ini, trak pikap jenis ladder frame itu telah menjalani beberapa jenis ujian termasuk pemanduan off-road di Alabama Hills, California, meredah air dan pemanduan di litar lumba untuk menguji pengendalian, kekuatan casis dan kemampuan menundanya.
Kali ini, sebuah unit prototaip pra-produksi Tasman dibawa ke padang pasir Al Qudra bagi memastikan ia mampu menangani cuaca panas dan kondisi pemanduan yang mencabar.
Menurut Kia, ia telah menjalankan sekurang-kurangnya 1,777 jenis ujian berbeza, dengan lebih 18,000 pusingan ujian berjaya dilengkapkan setakat ini.
Tiada perincian teknikal yang telah diumumkan namun menurut laporan, Tasman bakal mendapat enjin turbodiesel 2.2-liter seperti yang digunakan oleh Sorento, serta pilihan pacuan dua roda dan empat roda.
Selain itu, trak pikap ini juga dikatakan mempunyai muatan maksimum sehingga 998 kg dan kapasiti menunda mencecah hampir 3.5 tan.
Di mana Tasman akan dijual juga masih belum diketahui namun menurut laporan media Korea Selatan, ia berkemungkinan besar akan ditawarkan di pasaran Timur Tengah, Afrika dan Australia.
Tasman dijangka akan membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Jeddah International Motor Show di Arab Saudi yang akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 2 November depan.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.