fbpx

Proton mula operasi CKD Saga di Mesir, dijangka peroleh RM570 juta

Proton Saga CKD Mesir

Proton telah mengumumkan permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Mesir yang dikendalikan oleh rakan kongsi, Ezz Alarab.

Pengumuman dibuat semasa satu acara di ibu pejabat Proton, di mana 120 unit pek CKD Proton Saga pemanduan sebelah kiri dihantar ke negara tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, penambahan operasi CKD di Mesir menambahkan jumlah kilang yang terlibat dalam aktiviti CKD dan SKD untuk Proton di luar Malaysia kepada lima.

“Memandangkan pasaran automotif Malaysia mencapai tahap tepu semula jadinya, potensi pertumbuhan volum akan datang dari pasaran luar negara di mana permintaan pengguna dijangka akan meningkat pada masa akan datang,” katanya.

Proton telah menembusi pasaran automotif Mesir menerusi Ezz Alarab sejak 2004 lagi. Secara keseluruhannya, hampir 17,000 unit CBU telah dieksport ke negara tersebut dan pada tahun 2024, ia diramalkan lebih daripada 1,400 akan dihantar ke Mesir.

Pemasangan tempatan disasarkan bermula pada Disember tahun ini di kilang pemasangan Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF). Volum yang disasarkan untuk tahun 2025 dijangka meningkat kepada 5,000 unit Saga.

“Proses pemasangan tempatan Proton Saga di Mesir membolehkan syarikat memenuhi matlamat kerajaan Mesir untuk mengehadkan bilangan import CBU ke negara tersebut sambil juga menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan.

“Ini seterusnya mencipta potensi untuk pengembangan kapasiti yang lebih besar di negara tersebut pada masa hadapan, terutama selepas kami melancarkan model-model baru untuk mencapai matlamat bagi menjadikan Mesir sebagai pusat eksport kenderaan Proton di rantau Afrika Utara,” Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

Untuk tiga tahun pertama sehingga akhir 2026, pendapatan yang diperoleh Proton daripada eksport pek CKD ke Mesir diramalkan sebanyak RM570 juta, dengan tambahan RM20 juta dijangka sebagai pendapatan daripada aktiviti eksport alat ganti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved