fbpx

Apa itu Eksesais Pitch Black 2024? TUDM turut hantar kontinjen

pitch black 2024 eurofighter typhoon

Majlis Pembukaan Eksesais Pitch Black 2024 (PBK24) telah berlangsung secara rasminya baru-baru ini, bertempat di Darwin Convention Centre, Australia.

Tetapi apa itu Eksesais Pitch Black 2024? Pitch Black ialah eksesais terbesar di hemisfera selatan yang dianjurkan oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan diadakan setiap dua tahun.

Dikatakan edisi kali ini, ia dianjurkan dari 12 Julai hingga 2 Ogos, dan merupakan yang terbesar pernah diadakan. Eksesais disertai oleh 20 negara dari seluruh dunia dengan lebih 140 pesawat tempur dan 4,400 orang pegawai tentera.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menghantar kontinjen tahun ini yang terdiri dari tiga pesawat F/A-18D Hornet dan sebuah Airbus A400M. Ini juga bukan merupakan kali pertama TUDM menyertai Eksesais Pitch Black.

Pertama kali diadakan pada 1981, Pitch Black menghimpunkan pelbagai tentera udara dari seluruh dunia untuk siri latihan senario-senario kompleks melibatkan pesawat pejuang dan sokongan seperti pesawat penangki serta kawalan dan amaran awal (AEW&C).

Kebanyakan pesawat akan beroperasi dari Pangkalan Udara RAAF Darwin, tetapi terdapat juga pesawat yang akan beroperasi dari pangkalan Tindal dan Amberley.

Tentera udara yang kembali ke Darwin untuk Pitch Black 2024 adalah dari Perancis, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Republik Korea, Singapura, Thailand, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Terdapat juga pasukan tentera udara yang kali pertama menyertai eksesais ini seperti Filipina, Sepanyol, Itali, dan Papua New Guinea. Beberapa pegawai dari Fiji dan Brunei akan turut menyertai selain dari Kanada dan New Zealand.

Eksesais ini bukan sahaja dinantikan oleh para peserta dari kalangan tentera, ia juga dinantikan oleh para peminat dunia aeroangkasa dan ketenteraan di kawasan Darwin dan sekitarnya.

Ini kerana mereka dapat melihat pesawat-pesawat pejuang canggih dari pelbagai negara yang tidak selalu berada di pangkalan Darwin seperti F-22 Raptor, F-35 Lightning, F-15 Eagle, F-16 Falcon, F/A-18 Hornet dan Super Hornet, Eurofighter Typhoon, FA-50, Dassault Rafale, Saab Gripen, dan Sukhoi Su-30.

Eksesais ini dilangsungkan dengan pelbagai aktiviti dan situasi yang akan menguji kecekapan juruterbang dan krew untuk bekerjasama sesama sendiri serta bersama rakan dari negara lain.

Selain itu, untuk komuniti setempat, aktiviti sampingan Pitch Black melibatkan hari terbuka pangkalan udara Darwin dan pertunjukan udara di pantai Mindil.

Untuk info tambahan, kontinjen TUDM memulakan perjalanan mereka beberapa hari pada minggu lepas. Mereka berlepas dari Butterworth minggu lepas sebelum singgah di Kuching dan Bali sebelum meneruskan perjalanan ke Darwin.

Beberapa tentera udara pula menjadikan Malaysia sebagai persinggahan seperti tentera udara dan laut Itali yang singgah di Subang beberapa hari sebelum menyambung perjalanan.

Berikut adalah antara negara-negara peserta Pitch Black 2024 bersama pesawat mereka:

Royal Australian Air Force (RAAF) – Boeing EA-18G Growler, F/A-18F Super Hornet, E-7A Wedgetail AEW&C, Lockheed Martin F-35A, C-130J Hercules, Airbus A330/KC-30A MRTT
French Air and Space Force (FASF) – Dassault Rafale, Airbus A330 MRTT, A400M, CN235
German Air Force – Eurofighter Typhoon, Airbus A330 MRTT, A400M
Indian Air Force (IAF) – Sukhoi Su-30MKI Flanker
Indonesian Air Force – Lockheed Martin F-16A/B/C/D
Italian Air Force – Lockheed Martin F-35A, F-35B, C-130J Hercules, Eurofighter Typhoon, G550 AEW&C, Boeing KC-767
Italian Navy – Lockheed Martin F-35B, AV-8B Harrier II
Japan Air Self-Defense Force (JASDF) – Mitsubishi F-2A/B, Boeing E-767 airborne early warning and control (AWACS)
Papua New Guinea Defence Force (PNGDF) – PAC-750
Philippine Air Force (PAF) – Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50PH Fighting Eagle
Royal Malaysian Air Force (RMAF) – Boeing F/A-18D Hornet, Airbus A400M
Republic of Korea Air Force (ROKAF) – Boeing F-15K Slam Eagle
Republic of Singapore Air Force (RSAF) – Lockheed Martin F-16C/D, Boeing F-15SG, G550 CAEW&C, Airbus A330 MRTT
Royal Air Force (RAF) – Eurofighter Typhoon, Airbus A330/Voyager MRTT
Spanish Air and Space Force (SASF) – Eurofighter Typhoon, Airbus A400M
Royal Thai Air Force (RTAF) – Saab JAS-39C/D Gripen
United States Air Force (USAF) – Lockheed Martin F-22A Raptor
United States Marine Corps (USMC) – Bell Boeing MV-22 Osprey

Sumber gambar: TUDM Rasmi, Adj.com.my, Cameron Reynolds, William Nguyen-Phuoc, Muhamad Hanis, Tajul Haizreel

Lihatkan Ulasan (10)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved