fbpx

BYD bakal buka kilang pemasangan RM4.7 bilion di Turkiye

byd atto 3 2024 11

BYD dilaporkan akan membuat pelaburan bernilai AS$1 bilion untuk membina sebuah kilang pemasangan di Turkiye dalam usahanya untuk mengembangkan jenamanya ke rantau Eropah.

Pengerusi BYD Wang Chuanfu dan Menteri Industri dan Teknologi Turkiye Mehmet Fatih Kacir menandatangani perjanjian pelaburan dalam satu majlis yang diadakan di Istanbul. Ia disaksikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Media tempatan mengatakan kilang tersebut akan mempunyai kapasiti pengeluaran mencecah 150,000 kenderaan setahun dan dijangka dapat membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

Ia dijangka beroperasi menjelang penghujung 2026. Setakat ini, masih tidak diketahui model apa yang akan dipasang di kilang berkenaan.

Apa yang menarik, perjanjian ini berlaku beberapa hari selepas Kesatuan Eropah (EU) menguatkuasakan tarif sehingga 38% ke atas EV yang diimport dari China.

Bukan itu sahaja, Turkiye sebelum ini mengumumkan yang ia akan mengenakan tarif import 40% ke atas semua kenderaan dari China bagi melindungi industri automotifnya.

Tetapi dengan membuka kilang pemasangan di Turkiye, BYD boleh membawa masuk keretanya ke serata Eropah tanpa perlu dikenakan tarif import berkenaan memandangkan Turkiye merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Kastam EU.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengeluar-pengeluar EV dari China mula mengambil langkah agresif untuk mengeksport kenderaan mereka ke negara luar.

Kebanjiran EV China dalam pasaran menyebabkan beberapa negara bertindak drastik dengan mengenakan tarif yang tinggi bukan sahaja ke atas EV tetapi pelbagai jenis barangan dari negara itu bagi melindungi ekonomi masing-masing.

Jadi salah satu cara untuk ‘mengelak’ dikenakan tarif adalah dengan memulakan operasi pemasangan tempatan. Bagi BYD, ia telah memulakan langkah Eropah-nya dengan pengumuman kilang pemasangan di Hungary dan Turkiye.

Bukan itu sahaja, jenama itu juga baru sahaja melancarkan pembukaan kilang pemasangan di Rayong, Thailand, sekali gus mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Tenggara.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved