Hennessey Venom F5 hilang kawalan semasa ujian 400km/j, pemandu selamat


SEORANG pemandu ujian Hennessey terselamat dari kemalangan pada kelajuan 400km/j membabitkan hypercar Venom F5 di Kennedy Space Center, Florida baru-baru ini.
Menurut siaran oleh Hennessey di Instagram mereka, pasukan ujian pada ketika itu sedang menguji tetapan aerodinamik untuk F5 yang berkuasa 1,817hp.
Ia hilang downforce pada kelajuan 250 batu sejam (402km/j) menyebabkan pemandunya hilang kawalan. Apa yang menakjubkan ialah pemandunya terselamat dari kemalangan itu tanpa sebarang kecederaan.
Punca insiden itu tidak dikenal pasti. Hennessey berkata pasukan mereka sedang menganalisis data untuk mencari punca kejadian itu.
“Saya sangat bersyukur kepada pasukan jurutera dan juruteknik kami yang telah merekabentuk dan membina kenderaan yang sangat kukuh,” kata Hennessey dalam satu kenyataan.
“Kami juga berterima kasih kepada pasukan tindak balas pertama dan staf di KSC untuk respon pantas mereka dalam memastikan keselamatan semua pihak.”
Hennessey mendakwa Venom F5 sebagai kenderaan terpantas di dunia, mampu mencapai kelajuan 311 batu sejam (500km/j). Walaubagaimanapun tiada cubaan untuk mencapai kelajuan itu pernah dibuat (setakat ini).
Tiada perincian mengenai keadaan kenderaan atau situasi kemalangan. Diharapkan kerosakannya tidak begitu teruk. Apa pun, kami teruja melihat Hennessey mencapai kelajuan 500km/j suatu hari nanti.

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.