fbpx

Volkswagen pernah sumbat enjin VR6 dalam Golf Mk6

Volkswagen Golf Mk6 VR6 01

DALAM lapan generasi, Volkswagen Golf telah melahirkan banyak model edisi istimewa. Salah satu model yang menjadi idaman ramai sebuah Golf Mk6 yang dikuasakan oleh enjin VR6.

Atas sebab-sebab tertentu (kami yakin kos salah satu daripadanya), kereta tersebut tidak pernah memasuki fasa produksi. Kalaulah ia jual di pasaran, ia pasti akan menjadi model Golf paling berkuasa hingga ke hari ini.

Menurut Ketua Kandungan, Komunikasi Klasik & Perhubungan Media, Enrico Beltz, Golf VR6 dibina sebagai model one-off pada 2009, iaitu sebelum Golf R Mk6 dikeluarkan.

Enjin 3.2-liter yang disumbat ke dalam Golf itu dibina oleh Rothe Motorsport dan secara asasnya merupakan enjin sama yang digunakan untuk Golf R32.

Jika versi NA yang asal mempunyai hanya 247 hp, enjin yang telah dimodifikasi itu menghasilkan 463 hp, manakala tork yang dihasilkan juga meningkat dengan signifikan dari 320 Nm kepada 520 Nm.

Antara naik taraf yang dilakukan termasuk penggunaan pengecas turbo Garret GT35, omboh kustom, intake manifold baharu, penyuntik baharu, paip tekanan aluminium, injap ekzos Rothe Motorsport dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Golf VR6 ini juga dilengkapi dengan brek dari Audi RS6 dan rim 19 inci dari Lamborghini. Casisnya dipertingkatkan dengan sistem suspensi Bilstein B16 manakala ruang dalamannya diberikan penampilan lebih segar menerusi upholsteri Alcantara dan balutan kulit pada papan pemuka.

Angka prestasi tidak didedahkan namun dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, sistem pacuan semua roda dan berat sekitar 1,360 kg, ia pastinya dapat menandingi mana-mana supercar dengan mudah. Menurut VW, ia mampu mencapai kelajuan melebihi 250 km/j.

Golf GTI W12-650

Menariknya, ini bukanlah Golf terakhir yang diberikan enjin VR6. Pada 2013, pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan kereta konsep Golf Design Vision GTI yang mempunyai lebih 500 hp. Dua tahun kemudian, Golf GTI Supersport Vision Gran Turismo tampil dengan 503 hp.

Jika anda fikir VR6 adalah yang enjin terbesar pernah disumbat dalam Golf, anda salah. 17 tahun yang lalu, VW membuat kerja gila dengan meletakkan enjin 6.0-liter twin-turbo W12 dari Bentley Continental GT ke dalam sebuah kereta konsep berasaskan Golf Mk5.

Dikenali sebagai Golf GTI W12-650, kereta berkenaan mempunyai 641 hp, brek depan dari Audi RS4, serta gandar belakang dan brek belakang yang diambil dari Lamborghini Gallardo.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved