fbpx

Porsche Panamera generasi ketiga kini di Malaysia – Lebih kuasa, lampu matriks sehingga 600meter, dari RM1.3 juta

porsche panamera 2024 03

PORSCHE Panamera baharu generasi ketiga kini di Malaysia, dibawa khas oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP). Sedan sports empat-pintu ini ditawarkan pada harga bermula RM1.3 juta. Jom lihatkan apa yang anda dapat dengan harga ini.

Panamera baharu ini dikuasakan oleh enjin 2.9-liter V6 twin-turbo petrol yang mampu menjana 353PS dan 500Nm tork. Ini merupakan peningkatan 23PS dan 50Nm berbanding sebelumnya.

Dengan output itu, Porsche Panamera 2024 ini mampu memecut ke 100km/j dalam 5.1 saat, dengan kelajuan maksima 272km/j jika diberikan ruang yang cukup.

Selain lebih pantas, prestasi membrek juga telah dipertingkatkan. Sedan yang dipasang di Leipzig, Jerman ini dilengkapi brek 360mm dengan 6-piston di depan manakala 330mm 4-piston di belakang. Booster elektrik pada sistem brek juga telah dinaik taraf untuk rasa dan ketepatan lebih baik.

Rim adalah 19-inci, yang dibaluti tayar 265/45 di depan dan 295/40 di belakang. Casis Panamera 2024 didatangkan dengan sistem suspensi udara dual-chamber dwi-injap dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai standard.

Sistem ini mampu menyerap impak dari jalan tidak rata tetapi pada masa yang sama ‘memegang’ badan kereta untuk pemanduan dinamik seperti di litar. Sistem stereng roda-belakang juga boleh ditambah untuk pengendalian lebih jitu.

Dari segi kelengkapan luaran, Porsche Panamera 2024 dilengkapi lampu depan LED matriks dengan 32,000 piksel setiap satu yang mampu memberikan pencahayaan tepat sehingga 600 meter.

Di bahagian kabin, Panamera mendapat rekaan yang Porsche katakan “menampilkan keseimbangan antara elemen kawalan digital dan analog”. Butang kawalan penting diletakkan dalam capaian pemandu, sementara tombol gear kini berada di kolum stereng.

Terdapat dua paparan utama di papan pemuka, iaitu skrin melengkung 12.6-inci di depan pemandu, dan skrin sesentuh 12.6-inci di tengah. Sebagai tambahan, terdapat skrin ketiga bersaiz 10.9-inci di depan penumpang hadapan.

Teknologi pada Panamera termasuklah aplikasi MyPorsche (iOS sahaja), sambungan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk dengan fungsi urut, lampu ambien, bantuan suara Siri, dan ciri bantuan pemanduan yang telah dipertingkat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved