fbpx

Lamborghini Urus SE – super SUV dengan trenkuasa PHEV 800 PS

Lamborghini Urus SE 01

MODEL terlaris Lamborghini iaitu Urus kini boleh didapati dalam versi hibrid plug-in (PHEV) yang menawarkan kuasa tertinggi dalam barisannya dan juga emisi yang lebih rendah.

Model yang dikenali sebagai Urus SE ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang sama dengan versi standard namun dengan bantuan motor elektrik.

Menurut Lamborghini, enjin tersebut telah ditala semula bagi memastikan ia dapat digandingkan dengan trenkuasa elektrik secara optimum.

Secara sendirinya, enjin itu menghasilkan 620 PS dan 800 Nm, manakala motor elektrik yang diletakkan di dalam perumah transmisi menjana 192 PS dan 483 Nm. Gabungan ini memberikan Urus SE output keseluruhan sebanyak 800 PS dan 950 Nm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding Urus S) dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j (7  km/j lebih pantas berbanding Urus S).

Angka ini memang mengagumkan namun gelaran Urus terpantas masih dipegang oleh varian Performante yang memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0-100 km/j dan boleh mencapai kelajuan 306 km/j walaupun mempunyai 666 PS sahaja.

Urus SE didatangkan dengan bateri litium ion 25.7 kWj yang diletakkan di bawah lantai but, memberikan SUV super ini jarak pandu sejauh lebih 60 km dalam mod EV.

Apa yang menarik, walaupun mempunyai kuasa yang tertinggi dalam barisan Urus, varian ini memberikan tahap pelepasan 80% lebih rendah.

Satu lagi kelebihan Urus SE adalah sistem pemvektoran tork elektrik baharu yang ditugaskan untuk mengagihkan tork secara berubah-ubah dan berterusan antara gandar hadapan dan belakang.

Dengan sistem ini, serta LSD elektronik pada gandar belakang, pemandu boleh merasakan efek oversteer secara langsung bagi mendapatkan pengalaman pemanduan yang tidak ubah seperti memandu kereta sport sebenar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved