fbpx

Rim Bridgestone Super R.A.P. dijelmakan semula sebagai Evo

Bridgestone Super RAP Evo 01

SEKALI pandang, rim Mazda MX-5 (atau Miata) di atas nampak tidak ubah seperti rim kompang Perodua Axia yang dicat putih.

Tapi takkan lah kereta cantik macam Miata pakai rim kompang je? Sebenarnya ia adalah rim Bridgestone Super R.A.P. yang diperbuat daripada aluminium aloi. Bukan calang-calang punya rim ni!

Untuk pengetahuan anda, rim Super R.A.P. diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1987 sebagai rim yang ideal untuk pertandingan.

Tahun ini, ia dihasilkan semula dengan nama Super R.A.P. Evo sempena ulang tahun ke-60 penglibatan Bridgestone dalam sukan permotoran.

Menurut Japanese Nostalgic Car, rim Super R.A.P. Evo membuat kemunculan pertamanya di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu namun ketika itu ia masih dalam peringkat prototaip.

Bridgestone pada masa itu sedang membuat tinjauan untuk melihat PCD dan saiz yang patut dihasilkan. Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan dengan lebih 3,000 respons diterima.

Kini, rim Super R.A.P. Evo telah pun memasuki pasaran Jepun dalam saiz 15 inci, lebar 7.0J dan 7.5J, serta dua pilihan PCD iaitu 4×100 untuk MX-5/Miata/Roadster dan 4×114.3 untuk kereta-kereta lain. Harga bermula dari 48,000 yen (RM1,555) untuk PCD 114.3 dan 49,000 yen (RM1,587) untuk PCD 100.

Tetapi kenapa rim Super R.A.P. mempunyai rekaan seperti rim kompang? Rim ini asalnya direka untuk rali dan gymkhana, jadi lubang-lubang kecil yang anda lihat ini dikatakan dapat melindungi komponen brek dari batu dan lumpur lebih baik berbanding jejari.

Apa yang menarik, rim Super R.A.P. yang asal boleh didapati dalam saiz 13 dan 14 inci sebelum saiz 15 inci diperkenalkan di pasaran. Ia juga menggunakan binaan two piece berbanding Evo yang merupakan rim jenis one piece.

Bukan itu sahaja, Super R.A.P. yang asal yang juga boleh didapati dalam warna merah selain warna putih Racing Pearl White ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved