fbpx

Lotus kini ada rangkaian pengecas pantas DC sendiri

Pengecas pantas Lotus 01

IA bukanlah satu rahsia bahawa Lotus sedang menjalani proses transformasi untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2028.

Walaupun masih ada lebih kurang empat tahun untuk mencapai sasaran itu, Lotus sudah mempunyai dua model elektrik dalam barisannya iaitu Eletre dan Emeya. Ia masih menjual model ICE iaitu Emira namun ia akan menjadi yang terakhir.

Bagi mengatasi masalah kebimbangan mengenai jarak dan kemudahan pengecasan, Lotus telah membangunkan rangkaian pengecasannya sendiri yang merangkumi pengecas pantas DC, kabinet kuasa dan unit modular yang membolehkan empat EV dicas serentak.

Menggunakan teknologi penyejukan cecair, pengecas DC tersebut menawarkan pengecasan dengan kapasiti sehingga 450 kW. Sebagai contoh, Eletre R boleh mendapat jarak gerak sejauh 142 km dengan pengecasan selama lima minit.

Untuk perbandingan, rangkaian pengecasan Tesla Supercharger V3 boleh memberikan jarak gerak sejauh 120 km dalam tempoh masa yang sama.

Pada kapasiti 450 kW, pengecasan dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 20 minit manakala pada kapasiti 350 kW, pengecasan selama lima minit akan menambah jarak gerak sebanyak 120 km.

Kabinet kuasa modular pula sesuai untuk diletakkan di lokasi-lokasi yang memerlukan yang memerlukan jumlah tenaga yang tinggi untuk mengurangkan masa pengecasan, seperti di lebuh raya.

Sementara itu, unit pengecasan, yang juga dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair, membolehkan empat kenderaan dicas secara serentak.

Menurut Lotus, kemudahan pengecasan pantasnya telah pun dipasang di China dan dijangka akan mula dilancarkan di negara-negara utama Eropah dan Timur Tengah pada suku kedua 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved