fbpx

Toyota GR86 40th Anniversary Limited rai legasi Corolla AE86

Toyota GR86 40th Anniversary Limited 05

40 tahun yang lalu, Toyota telah melancarkan Corolla AE86 yang tidak disangka-sangka telah memberikan impak besar terhadap budaya kereta sport JDM.

Bagi meraikan peristiwa penuh makna itu, Toyota telah melancarkan model edisi istimewa GR86 yang dikenali sebagai ’40th Anniversary Limited’.

Seperti namanya, model ini akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad iaitu 200 unit sahaja dan semuanya akan dijual di Jepun menerusi sistem loteri.

Model ini menggunakan varian RZ sebagai asas dan didatangkan dengan beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek kosmetik dan juga prestasi.

Dari segi penampilan, GR86 40th Anniversary Limited didatangkan dengan set pelekat berwarna hitam pada bahagian bawah pintu yang menampilkan tulisan “40th” dan “Since 1983”.

Ia juga boleh dibezakan dengan versi standard menerusi spoiler ducktail dalam warna Crystal Black Silica dan rim aluminium 18 inci berwarna Dark Grey Metallic. Ada dua sahaja pilihan warna sahaja iaitu Crystal White Pearl dan Spark Red.

Di dalam, anda akan menemui tulisan “40th” dan “Since 1983” yang sama pada panel pintu dan karpet, serta upholsteri berwarna merah dan hitam.

Sekarang, ke bahagian yang lebih penting iaitu prestasi. Model ini dilengkapi dengan penyerap hentak jenama Sachs untuk pengendalian yang lebih mantap dan cakera brek Brembo bagi memastikan ia boleh berhenti dengan lebih cepat.

Kedua-dua komponen ini bagaimanapun masih ditawarkan sebagai aksesori tambahan untuk pemilik varian SZ dan RZ.

Sayangnya, enjin boxer 2.4-liter empat silindernya tidak diberi sebarang naik taraf bermakna ia masih menghasilkan 234 hp pada 7,000 rpm dan 250 Nm pada 3,700 rpm.  Ia dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan yang menggerakkan roda belakang.

Sebagai sebahagian daripada kemas kini untuk model tahun 2024, Toyota telah menambah sistem ADAS Subaru Eyesight pada semua varian manual.  Bukan itu sahaja, Vehicle Stability Control (VSC) dan pendikit elektronik juga telah dioptimumkan.

Harga jualan GR86 40th Anniversary Limited bermula dari 3.822 juta yen (RM120,921) untuk versi manual dan 3.92 juta yen untuk versi automatik (RM124,022).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved