fbpx

Zeekr 001 FR diperkenalkan – 1,265 PS, 0-100 km/j dalam 2.07 saat

Geely Zeekr 001 FR 02

ZEEKR, pengeluar kenderaan elektrik (EV) di bawah naungan Geely, telah memperkenalkan model berprestasi tinggi 001 FR yang bakal bersaing dengan Tesla Model S Plaid.

Sejujurnya, Zeekr bukanlah jenama pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang ‘prestasi’ namun itu akan berubah dengan kehadiran 001 FR yang dikuasakan oleh empat buah motor elektrik dengan output mencecah 1,265 PS dan 1,280 Nm!

Ini membolehkan model fastback empat pintu itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.07 saat dalam keadaan rolling start. Bagaimanapun, kelajuan maksimum dihadkan kepada 280 km/j.

Untuk perbandingan, Model S Plaid yang mempunyai 1,020 PS memerlukan 1.99 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 322 km/j.

Untuk memastikan ia mampu bertahan dengan tahap prestasi yang tinggi itu, 001 FR dilengkapi dengan teknologi penyejukan minyak jenis waterfall, manakala motor pada gandar belakang dilindungi dengan gentian karbon.

Bagaimanapun, prestasi puncak hanya boleh digunakan selama 10 saat pada satu-satu masa dan hanya ketika bateri mempunyai cas lebih dari 50 peratus.

Jarak pandu tidak dinyatakan namun menurut Geely, model ini didatangkan dengan bateri berkapasiti 100 kWj yang boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam 15 minit sahaja.

Kelajuan di jalan lurus bukanlah satu-satunya kekuatan 001 FR kerana ia juga mempunyai teknologi torque vectoring yang membolehkan ia mengendalikan sehingga 1.4G di selekoh.  Menariknya, ia juga boleh melakukan pusingan kereta kebal atau tank turn.

Selain itu, sistem brek turut dinaik taraf menerusi cakera karbon seramik Brembo berukuran 420 mm dengan angkup 10 piston dari AP Racing pada bahagian hadapan. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan cakera 410 mm dan angkup empat piston.

Dari segi penggayaan, 001 FR boleh dibezakan dengan versi standard menerusi kit badan gentian karbon yang merangkumi splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan spoiler. Turut disertakan adalah bumbung dan cermin sisi gentian karbon serta rim aluminium 22 inci.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved