fbpx

Maserati MCXtrema jentera litar ekstrem, 62 unit sahaja, harga 7 angka, habis terjual

maserati mcxtrema 2023 09

Satu lagi jentera yang didedahkan dari Monterey Car Week 2023, kali ini Maserati MCXtrema. Ianya supercar untuk kegunaan litar sahaja, diasaskan dari MC20.

Tetapi MCXtrema mendapat pakej aerodinamik agresif yang menjadikannya nampak lebih ganas, berkepak, lebih ekstrem seperti namanya, dan enjin 3.0 V6 Nettuno yang ditala untuk menghasilkan 730hp.

Hanya 62 unit MCXtrema akan dihasilkan, hanya untuk kegunaan litar, dan tidak boleh dipandu di jalanan. Tetapi untuk pengumpul dan pelumba, MCXtrema akan menjadi model susulan sesuai selepas MC12 Corsa yang pernah dihasilkan awal 2000-an.

Dalam mengubah MC20 dari supercar kepada jentera litar agresif, ia dipasang dengan pakej aerodinamik merangkumi splitter depan gentian karbon yang rendah dan panjang.

Terdapat air curtain untuk mengalirkan udara ke sekeliling dan bawah kereta, manakala ruang udara berbentuk trident pada clamshell menambahkan downforce.

Di bahagian belakang, terdapat flying buttress di sekitar tiang-B menghala ke spoiler dan radiator enjin. Corong udara di bumbung pula bersambung dengan sirip jerung besar, direka untuk meningkatkan kestabilan kereta dan menyalurkan udara ke belakang.

Maserati berkata bahagian bawah MCXtrema hampir rata sepenuhnya untuk aerodinamik. Di kokpit, segala yang tidak diperlukan telah dibuang untuk mengurangkan berat dan membantu pemandu fokus kepada tugas di tangan.

Tiada papan pemuka, hanya struktur crossbeam untuk meletakkan command centre. Sterengnya mendapat paparan 5.0-inci, butang, dan tombol bulat, dibina dari karbon dan aluminium. Ini bukan sahaja untuk astetik, tetapi juga sesuai untuk ergonomik pemanduan litar.

Setiap unit akan dibina khas untuk setiap pelanggan, maka segala posisi stereng, kotak pedal, butang kawalan, serta tali pinggang 6-point dikonfigurasikan khas.

Pemandu boleh mendapat maklumat seperti kalibrasi traction control, catatan masa, pengehad kelajuan pit, dan sistem komunikasi melalui stereng dan command centre.

Nadi kepada jentera ekstrem ini ialah enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 730hp pada 7,500rpm, dengan 730Nm tork. Enjin dipadankan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, menghantar kuasa ke roda belakang melalui LSD (limted-slip differential).

Suspensi adalah double-wishbone di kesemua empat roda, dengan geometri khas untuk MCXtrema. Ia juga dilengkapi penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng boleh-laras untuk membolehkan kereta ini mudah ditala untuk litar dan permukaan spesifik. Brek pula adalah dari gentian karbon.

Harga tidak didedahkan, tetapi Maserati berkata kesemua 62 unit telah terjual, dengan harga melebihi tujuh angka. Pengeluaran akan bermula pada pertengahan 2024, dan penghantaran menyusul selepas itu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved