fbpx

Cincin kahwin Honda untuk ‘couple’ bangsa H – boleh letak logo Type R!

Cincin Honda U-Treasure 01

ANDA dan pasangan sama-sama meminati jenama Honda? Kini anda boleh menjadikan ikatan cinta anda lebih indah dengan set cincin perkahwinan Honda keluaran U-Treasure, sebuah syarikat barang kemas dari Jepun.

Set cincin perkahwinan ini bukanlah barang ciplak kerana ia diperakukan sendiri oleh Honda Motor Co. Ltd. Walaupun tidak mempunyai batu pertama sebesar penumbuk, ia bukan calang-calang cincin kerana ia diperbuat daripada titanium.

Membuatkan ia lebih istimewa, anda boleh memilih salah satu daripada 12 rekaan logo untuk diukir pada bahagian dalam cincin. Selain logo Honda semasa, terdapat logo Honda klasik, Civic Type R, Integra Type R, Prelude, DOHC VTEC dan bermacam lagi.

Selain logo-logo di atas, anda juga boleh mempersonalisasi cincin ini dengan perincian lain seperti tarikh perkahwinan dan inisial, asalkan tidak melebihi lapan aksara. Penulis rasa tak ada masalah jika anda mahu meletakkan nama seperti “Manap VTEC”.

Untuk harga pula, ia boleh dikatakan agak mahal jika dibandingkan dengan cincin-cincin perkahwinan lain di pasaran iaitu sekitar 132,000 yen atau RM4,308 setiap satu. Tapi perlu diingat, cincin lain di luar sana tak ada lambang H seperti cincin ini.

Apa yang menarik, U-Treasure mengambil pesanan dari pelanggan luar negara namun menurut syarikat itu, penghantaran mengambil masa kira-kira enam minggu. Jadi tunggu apa lagi? Layari laman web U-Treasure untuk membuat tempahan sekarang juga!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved