fbpx

Goodyear jadi pembekal tayar rasmi untuk kenderaan mobiliti lunar NASA

Kenderaan mobiliti lunar – Goodyear

ANDA mungkin tidak tahu bahawa The Goodyear Tire & Rubber Company pernah membekalkan produk-produk penting untuk program Apollo NASA, termasuk untuk misi Apollo 11 yang mendarat di permukaan bulan 53 tahun yang lalu.

Bagi meneruskan tradisi itu, Goodyear telah mengumumkan bahawa mereka akan menyertai Lockheed Martin dalam pembangunan kenderaan mobiliti lunar, dengan fokus khusus terhadap tayar.

“Program Artemis NASA untuk hidup dan bekerja di Bulan mempunyai keperluan yang jelas untuk pengangkutan permukaan lunar yang kami berhasrat untuk penuhinya dengan kenderaan yang dipandu oleh angkasawan atau dikendalikan secara autonomi tanpa kru,” kata Kirk Shireman, naib presiden Kempen Penerokaan Lunar di Lockheed Martin.

“Kami membangunkan kenderaan mobiliti bulan generasi baharu ini untuk NASA, syarikat-syarikat komersial dan juga agensi-agensi angkasa lepas yang lain bagi menyokong sains dan penerokaan manusia,” tambah beliau.

Goodyear akan menggunakan teknologi tayar tanpa angin yang sedia ada bagi memastikan ia dapat mengharungi permukaan bulan yang mencabar. Kedua-dua syarikat itu juga dikatakan sudah mengaplikasikan kepakaran masing-masing ke dalam projek tersebut, termasuk menguji konsep-konsep di tapak ujian.

“Semua yang kami pelajari daripada membuat tayar untuk operasi persekitaran Bulan yang amat mencabar akan membantu kami membuat tayar tanpa udara yang lebih baik di Bumi,” kata Chris Helsel, naib presiden kanan, Operasi Global dan Ketua Pegawai Teknologi Goodyear.

Lunar rover Apollo memang sengaja dibina untuk perjalanan selama beberapa hari sahaja, dengan jarak lingkungan lima batu dari tapak pendaratan. Untuk misi-misi masa hadapan, kenderaan mobiliti lunar perlu menempuh jarak yang lebih jauh dan beroperasi pada suhu yang lebih ekstrem.

Bukan itu sahaja, tayar baharu yang dibangunkan perlu mempunyai ketahanan yang lebih lama dan bertahan pada suhu antara -250 darjah Fahrenheit hingga 250 darjah Fahrenheit.

Lockheed Martin akan mengetuai pasukan ini dengan berbekalkan pengalaman selama lebih 50 tahun berganding bahu dengan NASA. Selain itu, syarikat itu juga akan menguruskan pembangunan operasi perniagaan komersial program berkenaan dan penglibatan dengan NASA dan agensi-agensi angkasa lepas global.

Pasukan ini akan disertai oleh MDA dari Kanada yang membangunkan tangan robotik untuk digunakan dalam kenderaan mobiliti lunar tersebut. Kenderaan itu dijangka membuat pendaratan di Bulan pada 2025.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved