fbpx

Chery Tiggo 7 Pro lancar di Afrika Selatan dengan 1.5-liter dan 147hp, bakal tiba di Malaysia?

chery tiggo 7 pro 09

CHERY telah melancarkan Tiggo 7 Pro di Afrika Selatan – SUV tersebut menyertai Tiggo 4 Pro dan Tiggo 8 Pro yang sudah mula dijual di sana.

Chery Tiggo 7 Pro membawakan teknologi, kemewahan dan rekabentuk moden dengan dua varian iaitu Distinctive dan Executive.

Seperti Tiggo 4 Pro dan Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro direka mengikut falsafah ‘Life in Motion’, merangkumi gril hadapan ‘geometric matrix diamond’ yang diilhamkan oleh galaksi dan lampu hadapan LED.

Tiggo 7 Pro tampil yakin dengan rim aloi 18-inci (beserta kaliper brek merah pada varian Executive), bingkai tingkap hitam dan krom yang mencipta ilusi bumbung terapung, lampu belakang lightbar, spoiler bumbung serta ekzos berkembar.

Ciri standard pada semua varian adalah cermin sisi berkuasa, lampu hadapan dan belakang LED automatik, sill pintu LED, lampu kabus wide-angle, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta pintu belakang elektrik dengan pelarasan ketinggian.

Ruang bagasi memuatkan 475 liter, atau sehingga 1,500 liter jika tempat duduk belakang 60:40 dilipat.

Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.5-liter petrol turbo 4-silinder 1.5 liter yang dibangunkan oleh Chery. Enjin suntikan terus bahan api ini menjana 147hp pada 5,500rpm dan 210Nm tork antara 1,750 hingga 4,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi CVT dengan 9-kelajuan maya.

Chery Tiggo 7 Pro dibina pada platform T1X yang ringan dan kukuh. Ia mempunya panjang keseluruhan 4,500mm dengan jarak roda 2,670mm.

Pada bahagian dalaman, terdapat tempat duduk kulit sintetik dengan jahitan kontras. Tempat duduk pemandu boleh dilaraskan enam hala secara elektrik, manakala pada varian Executive, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilaraskan empat hala secara elektrik.

Stereng kulit dilengkapi dengan kawalan infotainment dan arahan suara, dan boleh dilaraskan dalam empat arah.

Tiggo 7 Pro mempunyai tiga skrin – panel meter digital tujuh inci di hadapan pemandu, LCD konsol tengah 10.25 inci yang memaparkan maklumat kenderaan, infotainment, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan paparan kamera undur, dan di bawahnya, skrin kawalan iklim dwi-zon. Sistem kawalan iklim dilengkapi penapisan udara N95.

Seperti model-model Pro yang lain, Tiggo 7 Pro didatangkan dengan arahan suara yang mampu mengawal fungsi-fungsi seperti kawalan iklim, tingkap elektrik dan (pada varian Executive) bumbung panoramik, manakala pengecasan peranti tanpa wayar dan pencahayaan ambien pelbagai warna turut ada pada semua varian.

Tiggo 7 Pro telah menerima penarafan keselamatan penuh lima-bintang daripada China-New Car Assesment Program (C-NCAP).

Semua varian mempunyai ISOFIX, ABS dengan Electronic Brake-force Distribution (EBD), Emergency Brake Assistance (EBA), Hill Start Assist (HSA), Hill Descent Control (HDC), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Blind Spot Detection (BSD).

Varian Executive pula menambah Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi fungsi-fungsi seperti Lane Departure Warning (LDW), Front Collision Warning (FCW), Automatic Emergency Braking (AEB) serta Around View Monitor 360 darjah. Varian Executive dilengkapi dengan enam beg udara.

Chery Tiggo 7 Pro didatangkan dengan pelan servis lima tahun/60,000 km, bantuan tepi jalan tanpa had perbatuan selama lima tahun, waranti mekanikal am lima tahun/150,000 km dan menawarkan waranti enjin 10 tahun/1,000,000 km yang komprehensif.

Tiggo 7 Pro adalah antara model Pro Family yang sedang dirancang untuk Malaysia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved