fbpx

BMW M2 CS Racing dipilih jadi kereta keselamatan MotoGP 2022

bmw m2 cs racing 02

SAINGAN MotoGP musim 2022 yang akan membuka tirainya pada Mac depan bakal menyaksikan kelibat BMW M2 CS Racing sebagai kereta keselamatan terbaharu kejohanan itu.

Ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah buat BMW dan MotoGP kerana ini adalah kali pertama kereta lumba sebenar dipilih untuk menggalas tugas itu. Bukan itu sahaja, pemilihan jentera istimewa ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 divisyen BMW M.

Oleh kerana ia asalnya memang dibangunkan untuk digunakan di litar lumba, M2 CS Racing hanya memerlukan beberapa modifikasi untuk ditransformasikan menjadi kereta keselamatan MotoGP. Ini termasuk penambahan bar lampu di atas bumbung dan lampu tambahan pada bampar hadapan.

Selain itu, ia juga dipakaikan livery khas yang menampilkan warna tradisi BMW M iaitu biru muda, biru gelap dan merah, serta logo ulang tahun khas divisyen itu pada bahagian bumbung.

Dibangunkan berasaskan M2 CS, versi Racing ini didatangkan standard dengan kelengkapan yang spesifik untuk kegunaan sukan permotoran seperti Limited-Slip Differential (LSD) mekanikal dengan fungsi pre-load dan sistem penyejukan berasingan, aci pacuan (drive shaft) yang dihasilkan khas serta bumbung yang diperbuat dairpada karbon.

Kuasa dibekalkan oleh enjin S55 3.0-liter enam silinder turbo yang turut digunakan oleh M2 Competition dan M2 CS, namun dalam versi ini ia ditala bagi menghasilkan 450hp dan 550Nm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang dinaik taraf dengan perisian khas.

Selain M2 CS Racing, barisan jentera BMW M untuk MotoGP tahun ini juga akan disertai oleh M3 Competition, M4 Competition, M5 CS, M8 Competition Gran Coupe, X5 M Competition dan dua buah superbike M 1000 RR.

Sementara itu, i4 M50 pula akan digunakan sebagai kereta keselamatan dalam MotoE World Cup yang merupakan program sokongan MotoGP.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved