fbpx

Karlmann King – SUV termahal di dunia, harga bermula RM7.5 juta!

karlmann king 01

PERNAHKAH anda tertanya-tanya SUV manakah yang paling mahal di dunia? Jawapannya mungkin akan mengejutkan anda kerana ia bukan Rolls-Royce Cullinan, Bentley Bentayga atau pun Mercedes-Maybach GLS, tetapi satu nama yang tidak dikenali iaitu Karlmann King. Harga jualan model ini bermula dari USD1.8 juta (RM7.5 juta)!

Ditawarkan dalam bilangan yang sangat terhad, King dibangunkan berdasarkan platform yang sama dengan Ford F-550 namun reka bentuknya yang boleh dikatakan agak keterlaluan itu merupakan hasil tangan pereka dari Itali yang bernama Luciano D’Ambrosia.

Sekali imbas, ia tidak ubah seperti gabungan Tumbler milik Batman dan jet pejuang stealth Lockheed F-117 Nighthawk.

Panel badan yang tajam dan bersegi-segi itu diperbuat daripada campuran keluli dan gentian karbon.

Khas untuk pelanggan berprofil tinggi, Karlmann turut menawarkan bahan kalis peluru namun versi ini mempunyai berat keseluruhan yang boleh mencecah sehingga 6,000kg, kira-kira 1,500kg lebih berat berbanding versi standard.

Ini sudah pastinya akan menjejaskan aspek prestasi dan dinamik King. Terletak di bawah bonet adalah enjin petrol 6.8-liter V10 daripada F-550 yang telah ditala bagi menghasilkan sekitar 400hp.

Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi automatik enam kelajuan menerusi sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan adanya kuasa tambahan tersebut, ia cukup untuk memacu King ke kelajuan maksimum 220km/j. Tetapi versi kalis peluru hanya boleh memecut sehingga 140km/j disebabkan berat tambahan yang dibawa olehnya.

Namun, pecutan dan pengendalian bukanlah kekuatan utama jentera ini. Dengan harganya yang tidak masuk akal, King jelas dibangunkan untuk golongan elit yang ingin sentiasa dikelilingi suasana selesa dan mewah ke mana jua mereka pergi. Bagi tujuan itu, banyak tumpuan diberikan terhadap ruang kabinnya.

Boleh menampung konfigurasi empat, lima, enam atau tujuh tempat duduk, King tampil dengan ciri-ciri yang boleh membuatkan penumpang berasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel lima bintang seperti TV, peti ais, meja lipat dan mesin espresso.

Pendek kata, apa sahaja yang diinginkan oleh pelanggan, Karlmann sedia memenuhinya.

King dihasilkan secara buatan tangan di Itali dengan pembiayaan daripada International Automotive Technologies (IAT) yang berpengkalan di Beijing.

Menurut laporan, sejumlah 1,800 kakitangan terlibat dalam pemasangan SUV ini dan setiap unit dikatakan mengambil masa kira-kira 15 bulan untuk disiapkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved