fbpx

Kia Forte (Cerato atau K3) 2021 dikemaskini untuk mencabar Honda Civic!

kia forte 2021 09

SEDAN segmen-C mungkin didominasi oleh Honda Civic namun ini tidak bermakna pengeluar-pengeluar lain akan hanya mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah.

Kia, sebagai contoh, telah mengemaskini Forte generasi ketiga (juga dikenali sebagai Cerato dan K3) dengan rekaan lebih segak dan kelengkapan baharu dalam usahanya untuk memberi saingan kepada Civic.

Penampilan Forte diperkemaskan menerusi rekaan lampu dan jeriji hidung harimau yang lebih langsing, bampar hadapan dan belakang yang kelihatan lebih lebar serta trunk spoiler. Rim juga direka semula dan boleh didapati dalam saiz 16- hingga 17-inci, bergantung pada varian.

Pada dua varian teratas iaitu GT Line dan GT, lampu kabus LED diintegrasikan pada lubang kemasukan udara, manakala lampu belakang pula mempunyai grafik LED yang lebih sporti.

Di dalam, varian FE dan LXS didatangkan standard dengan skrin sesentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay tanpa-wayar dan Android Auto, manakala GT Line dan GT mendapat paparan 10.25-inci, di samping Smart Key dengan fungsi Remote Start.

Selain itu, kluster LCD TFT 4.2-inci disertakan sebagai ciri standard pada kesemua varian, begitu juga dengan brek parkir elektronik dengan ciri Auto Hold. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan port pengecas USB belakang dan upholsteri kulit sintetik Syntex.

Seperti sebelum ini, Forte boleh didapati dengan dua jenis enjin. Untuk varian FE, LXS dan GT Line adalah enjin 2.0-liter MPI empat silinder yang menjana 147hp dan 179Nm. Enjin naturally-aspirated ini digandingkan dengan kotak gear jenis Intelligent Continuously Variable Transmission (IVT).

Sebagai varian tertinggi dalam barisannya, Forte GT tampil dengan enjin turbo 1.6-liter GDI empat silinder yang boleh didapati dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan atau manual 6-kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan agak tinggi iaitu 201hp dan 265Nm. Turut disertakan pada varian ini adalah ekzos sport berkembar dan suspensi multi-link.

Akhir sekali, model ini juga mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) baharu. Ini termasuklah Lane Following Assist (LFA), Highway Driving Assist (HDA), Navigation Based Smart Cruise Control (NSCC) dan Safe Exit Warning (SEW).

Ia merupakan tambahan kepada ciri-ciri sedia ada yang telah ditambah baik seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA) dan pelbagai lagi. Menurut Kia, Forte ditawarkan dengan 15 ciri ADAS kesemuanya, dengan enam daripadanya disertakan standard.

Di Amerika Syarikat, Forte dijual pada harga bermula dari USD19,090 (RM79,414) hingga USD23,490 (RM97,718).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved