Pemilik Ferrari LaFerrari kini dapat lanjutan waranti

BERTUAH betul pemilik Ferrari LaFerrari, sudahlah dapat memilik jentera flagship yang terhad dari jenama Prancing Horse, kini dapat pula satu lagi berita baik. Jaminan dan program servis penyelenggaraan mereka dipanjangkan pula.

Ferrari mengumumkan lanjutan jaminan ini khas untuk dua varian LaFerrari iaitu model coupe dan Aperta iaitu convertible/spyder.

Dinamakan LaFerrari Power, servis ini khas untuk mereka yang mahu mengekalkan prestasi kereta hibrid pertama Ferrari itu, yang dilengkapi dengan sistem HY-KERS dari Formula 1.

LaFerrari Power ialah program dua-tahun yang boleh diperbaharui dan boleh diaktifkan di mana-mana pengedar rasmi Ferrari, tanpa mengira tahun pengeluaran kereta.

Pemilik LaFerrari atau LaFerrari Aperta yang mengambil program ini akan mendapat lanjutan jaminan kilang termasuk untuk sistem HY-KERS dan bateri bervoltan tinggi.

Ini ialah kali pertama Maranello menawarkan lanjutan jaminan untuk salah satu model terhad mereka. Ini juga menunjukkan kualiti dan ketahanan kereta-kereta ini.

LaFerrari Power juga merangkumi penyelenggaraan berjadual tahunan dimana juruteknik terlatih akan membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kereta berada pada tahap optimum.

Pelancaran LaFerrari Power ini serentak dengan ulangtahun ke-10 pengenalan Genuine Maintenance, iaitu program penyelenggaraan premium yang memberikan jaminan model-model terkini Ferrari hingga tujuh tahun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *