Trak kuari hibrid Rolls-Royce ini mampu jadikan perlombongan lebih mesra alam

KENDERAAN hibrid hadir dalam berbagai rupa dan saiz dari pengeluar, tapi konsep baharu dari Rolls-Royce ini agak luar biasa.

Mereka mempertontonkan konsep trak baharu yang biasa digunakan di lombong, tetapi menggunakan janaan kuasa hibrid untuk mengurangkan pelepasan karbon. Mereka mendedahkan konsep itu di MINExpo 2021.

Konsep trak ini menggunakan enjin diesel MTU yang dipadankan dengan bateri, dan prestasi kekal sama. Menurut simulasi Rolls-Royce, sistem hibrid ini mampu mengurangkan pelepasan karbon antara 20 hingga 30 peratus, bergantung kepada topografi permukaan.

Memandu trak lombong ini dari dasar kuari pasti menggunakan lebih tenaga berbanding memandu di permukaan rata. Baterinya dicaj semasa trak membrek menuruni kuari, dan ini membolehkan Rolls-Royce menggunakan enjin lebih kecil. Tenaga yang dicaj tadi digunakan semasa mendaki keluar.

Konsep trak ini hadir selepas BMW mempersembahkan kereta bandar boleh dikitar semula iaitu i Vision Circular.

Menurut BMW (syarikat induk Rolls-Royce), mengurangkan pelepasan bermakna merombak semula keseluruhan proses membina kereta, termasuklah perlombogan mineral.

Jadi konsep Rolls-Royce ini ialah langkah pertama dalam matlamat itu, memandangkan keperluan logam nadir bumi terus meningkat di samping peningkatan pasaran kenderaan elektrik (EV).

MTU dan Rolls-Royce sedang giat melabur dalam sumber kuasa alternative dalam hala operasi perlombongan sifar karbon. Ini termasuklah mikrogrid, bahan api lestari, sel bahan api dan enjin hidrogen.

Matlamatnya adalah menyingkirkan pelepasan karbon sebanyak yang boleh, dan EV bukanlah penyelesaian untuk semua kegunaan. Hidrogen ialah satu alternatif yang banyak pengeluar cuba untuk bangunkan dan setiap sumber tenaga berbeza pasti mempunyai peranan mengurangkan pelepasan karbon.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *