fbpx

Toyota Hilux Revo GR Sport dengan penampilan lebih garang dan sporti, untuk Thailand sahaja

toyota hilux revo gr sport 08

TOYOTA dilihat semakin aktif memperkembangkan barisan model GR Sport mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di Malaysia, syarikat itu membuka langkah dengan melancarkan Vios GR Sport pada Disember 2020.

Dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia, sedan kompak itu tampil dengan beberapa penambahbaikan seperti kit badan sporty dan sistem suspensi yang ditala semula.

Sementara itu, Thailand pula mendapat model GR Sport pertama mereka iaitu Corolla Altis GR Sport setahun lebih awal. Kini, tiba giliran Hilux Revo GR Sport pula menerjah pasaran trak pikap negara itu.

Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 4WD Hi-Floor yang berasaskan Hilux Revo Rocco (dikenali sebagai Rogue di Malaysia) dan 2WD Lo-Floor yang berasaskan Hilux Revo Z-Edition. Masing-masing mempunyai penampilan dan karakter yang tersendiri.

Untuk bahagian luaran, varian Hi-Floor mendapat satu elemen visual yang ‘dipinjam’ daripada Land Cruiser iaitu tulisan ‘TOYOTA’ di tengah-tengah gril. Kemasan hitam di sekeliling gril dan badan kini didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan, manakala bahagian sisi dan tailgate dihiasi dengan grafik GR Sport.

Di belakang pula, terdapat sport bar berwarna hitam metalik yang didatangkan lengkap dengan lampu LED. Imej agresif trak ini dilengkapkan lagi menerusi kehadiran logo-logo GR pada gril, dapra hadapan dan tailgate, serta rim aloi GR Sport berukuran 18 inci.

Sementara itu, penampilan varian Lo-Floor pula diinspirasikan oleh kereta lumba Super GT. Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kit badan yang lebih sporty dengan penambahan lip dan lubang ambilan udara pada bampar hadapan, serta diffuser pada bampar belakang.

Seperti varian Hi-Floor, ia juga mempunyai grafik GR Sport pada bahagian bawah pintu (walaupun dalam rekaan berlainan), antena sirip jerung, cermin sisi berwarna hitam dan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR. Bagaimanapun, ukuran rimnya lebih kecil iaitu 17 inci.

Suasana ruang dalaman bagi kedua-dua varian juga telah diberi nafas baharu menerusi upholsteri kulit/suede yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna merah, trim perak dan hitam metalik pada konsol tengah serta logo GR pada perehat kepala dan stereng. Turut disertakan adalah set pedal sport, paddle shifter, serta butang penghidup enjin GR pada varian Hi-Floor.

Tanpa mengira varian, Hilux Revo GR Sport dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder dengan kuasa berjumlah 204 PS dan 500 Nm. Tiada versi manual untuk trak sporty ini – satu-satunya pilihan kotak gear yang ditawarkan adalah automatik enam kelajuan.

Walaupun enjin tidak disentuh, casis Hilux Revo GR Sport telah dinaik taraf untuk mendapatkan prestasi pengendalian yang optimum. Bagi varian Hi-Floor, sistem suspensi SuperFlex-nya kini dipadankan dengan penyerap hentak monotube, manakala varian Lo-Floor pula dilengkapi dengan sistem suspensi yang 23 mm lebih rendah.

Menurut Toyota, ia bukan sahaja berkesan dalam mengurangkan olengan badan dan meningkatan kestabilannya di selekoh, malah memberikan trak itu imej low rider yang sangat popular di Thailand.

Harga Hilux Revo GR Sport bermula dari 1,299,000 baht (RM167,875) bagi varian Hi-Floor dan 889,000 baht (RM116,181) bagi varian Lo-Floor.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved