fbpx

Opel Rocks-e sebuah EV kerdil yang boleh dipandu remaja seawal 15 tahun!

opel rocks-e 03

OPEL mungkin agak senyap sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun jenama itu sebenarnya sedang rancak memperkembangkan barisan kenderaan elektrik (EV) mereka. Usaha ini selaras dengan sasarannya untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya di Eropah menjelang 2028.

Setakat ni, Opel mempunyai empat model elektrik bateri iaitu Corsa, Mokka, Vivaro dan Combo. Kini, ia telah menambah satu lagi EV ke dalam portfolionya iaitu Rocks-e. Bagaimanapun, ia mempunyai satu perbezaan yang ketara berbanding model-model lain yang sedia ada.

Walaupun mempunyai empat roda dan sepasang pintu seperti sebuah kereta, Rocks-e secara rasminya diklasifikasikan sebagai ‘kenderaan bermotor ringan’. Opel menggelarnya sebagai Sustainable Urban Mobility (SUM) atau Mobiliti Urban Lestari yang “merapatkan jurang antara skuter dan kenderaan penumpang”.

Apa yang menarik, di Jerman, Rocks-e boleh dipandu oleh remaja berusia seawal 15 tahun yang memegang lesen kelas AM. Dengan ukuran panjang 2.41 meter dan lebar 1.39 meter, serta radius putaran 7.2 meter, ia dilihat sangat sesuai untuk digunakan di kawasan-kawasan bandar yang padat.

Kuasa dibekalkan oleh sebuah motor elektrik yang mampu menjana kuasa sehingga 6 kW (8 hp) serta pek bateri berkapasiti 5.5 kWj. Gabungan ini membolehkan EV seberat 471 kg ini dipandu sejauh 75 km, dengan kelajuan maksimum mencecah 45 km/j.

Bateri tersebut mengambil masa kira-kira tiga jam setengah untuk mencapai pengecasan penuh menerusi soket standard di kediaman. Setiap unit didatangkan dengan kabel pengecas sepanjang tiga meter dan adapter untuk digunakan di stesen pengecasan awam.

Dari segi kelengkapan, Rocks-e didatangkan dengan lampu LED dan rim berukuran 14-inci. Ruang kabinnya, walaupun sempit, memuatkan dua tempat duduk yang boleh digunakan oleh penumpang dengan ketinggian sehingga 1.9 meter, serta ruang penyimpanan sebesar 63 liter lengkap dengan cangkuk untuk beg bersaiz XXL.

Selain itu, terdapat kluster instrumen digital yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, mod pemanduan (Drive, Neutral atau Reverse), status cas bateri, baki jarak pemanduan serta jarak perbatuan. Turut disertakan adalah pemegang peranti pada konsol tengah dan aplikasi myOpel.

Harganya masih belum diumumkan, namun menurut Opel, Rocks-e akan memasuki pasaran Jerman bermusim luruh tahun ini. Syarikat itu juga merancang untuk menjualnya di pasaran-pasaran lain pada tahun hadapan.

Jika anda merasakan ia mirip seperti Citroen Ami yang diperkenalkan pada tahun lalu, anda sebenarnya betul kerana Rocks-e memang direbadge dari model itu. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Opel dan Citroen kini bernaung di bawah Stellantis bersama-sama dengan jenama-jenama Fiat Chrysler Automobiles dan PSA Group yang lain.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved