fbpx

FUSO Canter serba baharu untuk pasaran Eropah

fuso canter 01

SALAH sebuah anak syarikat Daimler Trucks iaitu FUSO telah mengumumkan permulaan jualan trak tugas ringan Canter serba baharu di pasaran Eropah.

Boleh dipesan menerusi rangkaian pengedar FUSO di seluruh Eropah bermula bulan ini, model baharu itu tampil dengan kabin yang direka semula serta penambahbaikan yang melibatkan aspek keselamatan dan keselesaan.

Seperti model yang sebelumnya, Canter baharu ditawarkan dalam lima kelas berat (3.5 tan hingga 8.55 tan), enam tapak roda (2,500 mm hingga 4,750 mm), tiga varian output enjin (130 hp hingga 175 hp) dan tiga varian kabin iaitu Standard (lebar 1.7 meter), Comfort (2 meter) dan Crewcab (2 meter).

FUSO turut menawarkan Canter 3.5 tan dengan kabin Standard di semua pasaran pemanduan tangan kanan. Sementara itu, sistem ekzos kompak baharu memastikan trak tugas ringan ini mematuhi piawaian emisi Euro VI – Step E.

Jika dilihat dari hadapan, Canter mempunyai ‘wajah’ baharu yang menampilkan gabungan bahasa reka bentuk moden dan elemen-elemen klasik. Ini termasuklah identiti reka bentuk Black Belt FUSO yang turut digunakan pada model-model lain dalam barisannya, serta lampu utama yang diintegrasikan secara langsung.

Canter kini boleh dipesan dengan ciri keselamatan Sideguard Assist yang menggunakan sensor radar untuk mengesan kehadiran pengguna jalan raya lain di sebelah penumpang trak. Seperti ciri Bantuan Titik Buta yang terdapat pada kereta penumpang, sistem ini akan mengeluarkan amaran sekiranya ia mengesan risiko pelanggaran apabila pemandu menukar lorong atau menghidupkan isyarat membelok.

Kehadiran Sideguard Assist memberikan sokongan keselamatan tambahan kepada Canter, di samping ciri-ciri Advanced Emergency Braking System (AEBS), Electronic Stability Program (ESP) dan Lane Departure Warning System (LDWS) yang sudah sedia ada.

Turut disertakan adalah fungsi Autolight dan perlindungan underrun pada bahagian belakang yang dapat mengurangkan impak pelanggaran. Sementara itu, lampu LED pula ditawarkan secara opsyen. Ia dikatakan dapat meningkatkan jarak penglihatan sebanyak 30 peratus.

Dari segi keselesaan pula, FUSO telah menggunakan lebih banyak bahan penebat bunyi untuk mengurangkan bunyi bising di dalam kabin. Selain itu, rekaan cab yang luas membolehkan pemandu melihat keadaan sekeliling dengan lebih mudah terutamanya di kawasan bandar, manakala titik masuk yang rendah memberikan akses mudah kepada pemandu.

Sejak pelancarannya pada tahun 1963, lebih 4.5 juta unit Canter telah dihasilkan di seluruh dunia. Pemasangan untuk model baharu ini dijangka bermula hujung tahun ini di kilang FUSO di Tramagal, Portugal.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved