Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd mengambil kesempatan dengan mempamerkan SUV Nissan X-Trail serba baharu di KLHALF Marathon 2026.
Nissan X-Trail e-Power e-4ORCE ini ditugaskan sebagai Kereta Pendahulu Rasmi (Lead Car) bagi menetapkan rentak acara larian terkemuka di Malaysia.
Penampilan istimewa ini turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan sendiri SUV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Nissan X-Trail T33 versi facelift ini muncul kali pertama di acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Dari sudut penampilan, X-Trail membawakan rekaan jeriji V-motion serba baru, diikuti dengan bampar depan dan belakang.
SUV ini turut membawakan tetapan lampu utama bertindih.
X-Trail ini dipacu oleh sistem e-Power yang terdiri daripada:
- enjin 3-silinder 1.5 liter turbo 144 PS/250 Nm (sebagai unit penjana)
- bateri lithium-ion 1.8 kWh
- motor elektrik depan 204 PS/330 Nm
- motor elektrik belakang 136 PS/195 Nm
Kedua-dua motor elektrik itu tadi membentuk sistem pacuan semua roda (AWD) e-4ORCE.
Kadar penggunaan bahan api pula adalah sekitar 5.7 liter/100 km.
Selain X-Trail e-Power e-4ORCE, ETCM sebelum ini menawarkan dua model e-Power iaitu Nissan Kicks e-Power dan Nissan Serena e-Power.
