Unit #1 GWM Ora 5 HEV CKD siap dipasang, bakal lancar November ini
GWM Malaysia mengumumkan unit pertama Ora 5 Hi2 HEV siap dikeluarkan dari kilang EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka.
Model terbaharu ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada November ini, dengan anggaran harga bawah RM115,000.
Spesifikasi
Ora 5 Hi2 HEV menggabungkan enjin turbo 1.5 liter dan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS serta daya kilas 476 Nm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi hibrid khusus (DHT) dua kelajuan, dengan sistem hibrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran.
Menurut GWM, model ini menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.4 liter/100 km dan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km.
Reka bentuk & kecekapan diiktiraf
Ora 5 turut meraih Design of the Year di London Design Awards 2025, menjadikannya kereta produksi pertama dunia menerima pengiktirafan tersebut.
Model ini juga memenangi Best Interior Design Award (Family Car) di TADA 2026.
Selain itu, Ora 5 HEV mencatat GUINNESS WORLD RECORDS™ bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid elektrik produksi dalam perjalanan merentasi semua bandar perbandaran China di bawah pentadbiran langsung kerajaan pusat.
Catatannya ialah 3.74 liter/100 km sepanjang perjalanan 3,004 km.
Perluas barisan pemasangan tempatan GWM
Ora 5 Hi2 HEV merupakan model pemasangan tempatan terbaharu GWM yang menyertai Haval H6 HEV, WEY G9 Hi4 PHEV dan versi HEV.
Setakat ini, lebih 10,000 kenderaan GWM telah dipasang di Malaysia, manakala lebih 1,100 unit WEY G9 pemasangan tempatan dieksport ke Thailand dan Indonesia.
Pelanggan boleh membuat tempahan Ora 5 Hi2 HEV menerusi pengedar sah GWM di seluruh negara.
Promosi sempena ulang tahun ke-4
Sempena ulang tahun keempat, GWM Malaysia menawarkan hadiah cabutan bertuah utama berupa Ora 5 Hi2 HEV dengan pembelian kenderaan GWM pada November atau Disember 2026.
Pemenang bakal diumumkan pada Januari 2027.
Selain itu, dua cabutan bertuah bulanan berasingan akan diadakan pada bulan November dan Disember, menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM100,000.
Antara tawaran eksklusif lain termasuklah:
- kadar pembiayaan serendah 0.08%
- manfaat bernilai sehingga RM17,000
- bantuan insurans dan tukar beli kenderaan
- lanjutan tempoh jaminan
- pakej penyelenggaraan percuma
Selain itu GWM Malaysia turut memperkenalkan model Haval H6 HEV dan Tank 500 yang menampilkan kemasan hitam tersendiri, serta penambahbaikan terpilih mengikut model.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.









