DHAS raih pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi sistem penjejakan kenderaan pintar

DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi pelaksanaan sistem penjejakan kenderaan pintar dalam kawasan operasi terbesar menerusi DHAS Vehicle Tracking System (DVTS).

Sistem yang dibangunkan secara tempatan itu membantu meningkatkan kecekapan operasi dengan memantau lokasi serta pergerakan kenderaan secara digital.

Lokasi dan pergerakan dipantau secara digital

DVTS menggabungkan teknologi rangkaian kawasan luas jarak jauh (LoRaWAN), peranti penjejakan GPS, pagar geografi (geofencing) serta pemantauan digital berpusat.

Gabungan teknologi ini membolehkan DHAS memantau lokasi dan pergerakan kenderaan dengan lebih jelas, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada kaedah manual.

Hasilnya, kenderaan dapat dikenal pasti dengan lebih pantas, manakala rekod pergerakan menjadi lebih tepat. Proses penghantaran kepada pelanggan juga dapat dipercepat.

Selaras operasi dari penerimaan hingga penghantaran

Sistem ini telah digunakan di Pusat Pemprosesan Kenderaan DHAS di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah, Selangor serta Pekan, Pahang.

Di PKFZ, sistem ini menyokong pemantauan dan penyelarasan kenderaan di zon penerimaan, penyimpanan, pemprosesan serta penghantaran meliputi kawasan seluas 33 ekar.

DVTS turut menyediakan papan pemuka digital, laporan dan analisis data bagi membantu perancangan sumber, keputusan operasi serta penyampaian perkhidmatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad, pengiktirafan itu menjadi dorongan kepada syarikat untuk terus memperkukuh operasi menerusi teknologi.

Beliau berkata, DVTS membolehkan pengurusan kenderaan dilakukan dengan lebih cekap dan tepat, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan serta rakan niaga.

DHAS akan terus meneroka penggunaan automasi dan penyelesaian digital bersepadu bagi memperkukuh keupayaan logistik automotifnya.