Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung: 646 PS, hanya 30 unit ditawarkan dan semuanya sudah ditempah
Mercedes-AMG memperkenalkan CLE 646 Spezialanfertigung, jentera berprestasi tinggi yang dibangunkan dengan satu matlamat utama iaitu menawarkan pengalaman pemanduan yang seagresif mungkin.
CLE 646 Spezialanfertigung merupakan model kedua dalam siri Mythos selepas AMG PureSpeed. Hanya 30 unit akan dihasilkan di seluruh dunia, dan walaupun belum dilancarkan secara rasmi, semuanya telah habis ditempah.
Lebih ringan dan lebih lebar
CLE 646 Spezialanfertigung dibina berasaskan AMG CLE 53, di mana setiap unit dihantar ke ibu pejabat AMG di Affalterbach, Jerman untuk menjalani proses binaan semula.
Berbanding model asas, berat keseluruhan dikurangkan sekitar 170 kg, manakala badan diperkukuh dan dilebarkan. Trek roda depan dan belakang masing-masing bertambah 60 mm, sekali gus meningkatkan kestabilan di selekoh.
Pengurangan berat dicapai menerusi penggunaan komponen gentian karbon secara meluas, termasuk fender depan, bampar, bonet, bumbung, skirt sisi, diffuser belakang dan penutup but. Cermin belakang dan cermin sisi belakang pula menggunakan polikarbonat.
Enjin yang dinaik taraf, dengan pacuan roda belakang
Seperti yang tertera pada namanya, model ini mempunyai 646 PS dan 850 Nm yang dibekalkan oleh enjin M177 Evo 4.0-liter biturbo V8. Ia menggunakan aci engkol satah rata (flat-plane crankshaft) untuk mengurangkan jisim berputar dan memberikan tindak balas enjin lebih pantas.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang menggerakkan roda belakang (sistem AMG Performance 4Matic+ daripada CLE 53 dibuang), serta dipadankan dengan LSD elektronik.
Gabungan ini membolehkan CLE 646 Spezialanfertigung memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 310 km/j.
Suspensi dan brek khusus untuk prestasi
Sistem suspensi terdiri daripada set coilover keluli yang dibangunkan bersama KW Automotive. Ia dipadankan dengan penyerap hentak empat hala yang boleh dilaraskan mengikut keperluan pemanduan.
Brek komposit seramik AMG pula menggunakan cakera 420 x 40 mm dengan angkup enam omboh di depan, serta cakera 360 x 32 mm di belakang.
Aerodinamik ditala untuk litar
Pembahagi udara depan boleh dilaraskan secara manual antara mod “Street” dan “Race”, manakala sayap belakang gentian karbon turut boleh dilaraskan untuk meningkatkan downforce.
Keseluruhan pakej aerodinamik ini dikatakan mampu menghasilkan lebih 250 kg downforce pada kelajuan maksimum. Sistem AMG Traction Control pula menyediakan sembilan tahap kawalan gelinciran roda belakang apabila digunakan di litar dengan ESP dimatikan.
Kabin diringankan
Kabin CLE 646 Spezialanfertigung diubahsuai untuk mengurangkan berat keseluruhan. Tempat duduk belakang, sebahagian bahan penebat bunyi serta beberapa ciri keselesaan telah dibuang bagi menjadikan kereta ini lebih ringan dan lebih berorientasikan pemanduan.
Sebagai ganti, ia menerima tempat duduk perlumbaan ringan, bar keselamatan serta panel pintu gentian karbon. Gabungan ini bukan sahaja membantu mengurangkan berat, tetapi turut memberikan suasana kabin yang lebih sesuai dengan karakter sebuah kereta berprestasi tinggi.
Peminat segala jenis kenderaan