Atlantis Automobili dilantik sebagai pengimport & pengedar rasmi Maserati di Malaysia

Maserati Malaysia Atlantis Automobili

Atlantis Automobili Sdn Bhd secara rasmi dilantik sebagai pengimport dan pengedar jenama Maserati di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026.

Syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group itu akan memikul tanggungjawab penuh operasi di Malaysia, merangkumi jualan, selepas jualan serta pengalaman pelanggan.

Menurut Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili menjelaskan komitmen utama mereka adalah untuk pelanggan dan pemilik.

“Fokus segera kami adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan yang lancar sambil memperkukuh asas jangka panjang Maserati di Malaysia,” ujarnya lagi.

Malaysia pasaran penting

Julie Taieb-Doutriaux, Ketua Maserati APAC menambah, “Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Maserati Asia Pasific.

“Pelantikan Atlantis Automobili merupakan langkah signifikan dalam mengukuhkan komitmen jangka panjang kami kepada pelanggan di negara ini.

“Dengan kepakaran yang dimiliki Atlantis Automobili, kami yakin mereka akan terus mengangkat pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan bakal pelanggan di Malaysia,” katanya lagi.

Pemilik sedia ada tidak perlu risau

Pihak Atlantis Automobili turut menegaskan sokongan dan bantuan akan diteruskan sepanjang tempoh peralihan.

Pemilik sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan, dengan saluran komunikasi khusus turut disediakan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, Atlantis Automobili sedang merancang siri pelaburan strategik dan penambahbaikan bagi memperkukuhkan kehadiran jenama Maserati di Malaysia.

Maklumat lanjut seperti fasiliti baharu, inisiatif pelanggan dan pembangunan masa depan akan diumumkan kelak.

Fasiliti jualan & servis sementara

Buat masa ini, pelanggan sedia ada boleh mendapatkan kemudahan jualan dan servis sementara di RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Fasiliti servis dan selepas jualan sementara juga turut didapati di alamat 30, Jalan Pengacara U1/48, Kawasan Perindustrian Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi:
Hotline Khidmat Pelanggan: +603-2110 2660
Emel Khidmat Pelanggan: contact@atlantismotor.com.my
Laman web: https://www.maserati.com/my/

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved