Proton e.MAS 7 PHEV 2026 kini merupakan unit CKD Tanjong Malim

Proton e.MAS 7 PHEV CKD

Proton New Energy Technology (Pro-Net) secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Proton e.MAS 7 PHEV di Automotive High Tech Valley Tanjong Malim.

Peluncuran keluar e.MAS 7 PHEV telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta timbalannya YB Sim Tze Tzin.

Turut sama hadir ialah Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton; Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, serta Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Prestasi jualan & ciri baharu

Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai kenderaan plug-in hybrid (PHEV) yang paling laris di Malaysia dengan jumlah pendaftaran setakat ini mencecah 4,500 unit.

Jumlah tempahan secara keseluruhan melangkaui 11,000 unit.

Dalam pada itu, Proton mengumumkan penambahan ciri baharu untuk e.MAS 7 PHEV iaitu fungsi urut untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Ciri baharu ini dikhususkan untuk varian Premium dan Premium Plus.

Ia mencerminkan komitmen Pro-Net dalam menambah baik produknya berdasarkan maklum balas pelanggan serta perubahan jangkaan pengguna bagi memastikan produk kekal praktikal dan relevan untuk pemanduan harian.

Spesifikasi lanjut boleh dibaca pada pautan INI.

Langkah perkukuh ekosistem tempatan

Program CKD e.MAS 7 PHEV ini menandakan langkah seterusnya dalam usaha lokalisasi Pro-Net melibatkan pembekal tempatan merentasi rantaian nilai automotif.

Difahamkan 30% komponen kenderaan diperoleh daripada sumber tempatan.

Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, memperluaskan keupayaan pembuatan tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kilang EV baharu Proton itu kini mempunyai seramai 391 kakitangan.

Rancangan meningkatkan kandungan tempatan

Proton awal tahun ini mengumumkan perancangan untuk memperluaskan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) di AHTV Tanjong Malim.

Dengan nilai pelaburan sebanyak RM37 juta, Proton mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 42,000 unit setahun.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam barisan produknya.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved