BYD Racco EV 2026 rasmi di Jepun, jarak gerak cecah 320 km, harga jualan dari RM54 ribu

BYD Racco EV 2026

BYD Auto Japan secara rasmi melancarkan kei car BYD Racco EV 2026 untuk pasaran Jepun.

Terdapat tiga varian ditawarkan di sana, dengan harga jualan bermula dari 2,145,000 yen (RM54 ribu) hingga 2,497,000 yen (RM62 ribu).

Dimensi

BYD Racco EV direka untuk memenuhi piawaian kei car yang ketat di Jepun.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda 2,520 mm.

Radius putaran adalah sekecil 4.8 meter.

Unit pacuan

BYD Racco EV hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 64 PS dan daya kilas 160 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu bateri LFP 35.84 kWh dengan jarak pandu sejauh 320 km, dan bateri LFP 22.40 kWh menawarkan jarak gerak sejauh 210 km untuk sekali cas penuh.

Kei car ini menyokong pengecasan AC 6 kW, pengecasan pantas DC 50 kW serta fungsi pemanasan bateri pra-pengecasan.

Selain itu, terdapat juga fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 1.5 kW.

Tetapan casis & suspensi

Casis BYD Racco EV ini disokong oleh tetapan suspensi topang MacPherson di depan dibantu dengan sistem torsion-beam di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk kedua-dua gandar.

Kelengkapan

BYD Racco EV membawakan kelengkapan seperti unit lampu LED, rim bersaiz 15 inci, serta pintu gelangsar bebas tangan lengkap dengan bantuan projeksi logo.

Untuk ruang kabin, kei car ini mendapat ciri seperti skrin sentuh sebesar 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pemantauan keliling, serta sistem pengesanan kehadiran bayi.

Racco EV juga turut menawarkan ruang kargo sebesar 280 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,372 liter.

Selain ruang kargo yang besar, kei car ini turut menawarkan beberapa ruang storan, serta fungsi pemanas untuk pemegang cawan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved