Perodua lancar model Alza & Traz di Sri Lanka, harga dari RM234 ribu
Perodua baru-baru ini melancarkan dua model terbaharunya di pasaran Sri Lanka, iaitu Perodua Alza dan Perodua Traz.
Bersempena pelancaran, 50 pelanggan terawal Traz mendapat harga istimewa Rs. 19,200,000 (RM234 ribu), atau sehingga Rs 19,950,999 (RM243 ribu) dengan aksesori tambahan.
Perodua Alza pula dijual pada harga Rs. 19,950,000 (RM243 ribu).
Pasaran eksport terbesar Perodua
Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua, Sri Lanka kekal menjadi satu daripada pasaran eksport terbesar Perodua.
Sejak tahun 1997, jumlah jualan kenderaan di sana melebihi 20,000 unit.
Perodua kini mengeksport model siap pasang sepenuhnya (CBU) ke enam negara termasuklah Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, dan Papua New Guinea.
“Kami juga merancang untuk mengeksport kenderaan pra-milik kami dan setakat ini kami telah mengembangkan pasaran termasuklah ke Timor Leste tahun ini,” jelasnya lagi.
Keyakinan terhadap jenama Perodua
Chanaka Yatawara, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC berkata, sejak sekatan import kenderaan dibatalkan pada tahun 2025, pihaknya telah menjual hampir 3,000 unit kenderaan.
Keadaan ini mencerminkan kepercayaan kuat pelanggan di Sri Lanka terhadap jenama Perodua.
“Dengan keupayaan pengeluaran Perodua yang telah terbukti serta rangkaian jualan serta servis Kumpulan United Motors, kami yakin Traz dan Alza akan terus meraih kepercayaan di kalangan keluarga serta pemilik perniagaan di Sri Lanka,” katanya.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

