Sistem Titan Flow oleh Touch ‘n Go tawar kadar ketepatan sehingga 99.98 peratus
Touch ‘n Go baru-baru ini mengadakan sesi ujian lapangan teknologi Titan Flow bersama para pengamal media di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Ujian tersebut dibuat di lorong RFID Dipertingkatkan yang ditandai simbol bintang emas di Plaza Tol Dato Keramat.
Demonstrasi ini bertujuan untuk membuktikan bagaimana gabungan teknologi buatan tempatan mampu menawarkan pengalaman yang lebih lancar, selamat dan dipercayai.
Gabungan pelbagai teknologi
Teknologi Titan Flow ini menggabungkan sistem identifikasi frekuensi radio (RFID) sebagai sistem pengesanan utama, dibantu dengan teknologi berikut:
- Pengecaman Nombor Plat Kenderaan Automatik (ANPR)
- Kecerdasan Buatan (AI)
- Pembelajaran Mesin (ML)
- LiDAR
Reka bentuk berlapis itu membolehkan sistem mencapai kadar ketepatan pengesanan sehingga 99.98 peratus.
Biarpun teknologi semakin berkembang, RFID kekal menjadi nadi utama dalam sistem Titan Flow atas faktor lebih stabil dan kurang terjejas oleh faktor persekitaran seperti cahaya mahupun cuaca.
Ia bukan sekadar memudahkan pengguna, tetapi turut direka untuk meningkatkan kelancaran pergerakan di plaza tol.
Gabungan teknologi pintar membolehkan setiap transaksi diproses dengan lebih tepat tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.
Langkah ke arah pelaksanaan MLFF
Sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), lorong RFID Dipertingkat kini memanfaatkan teknologi teras yang ada pada Titan Flow.
Teknologi ini dibangunkan berasaskan ekosistem yang telah terbukti dengan lebih 4.7 juta pengguna RFID berdaftar, 27 juta pengguna TNG eWallet, serta berbilion transaksi diproses setiap tahun.
Dengan asas yang mantap, ia membolehkan Touch ‘n Go terus mempercepat pembangunan infrastruktur mobiliti pintar dan memperkenalkan penyelesaian kutipan tol generasi baharu yang lebih pantas dan lancar.
SOS Balance lancarkan lagi aliran trafik
Bagi memastikan pengalaman mobiliti kekal lancar, ciri SOS Balance yang diperkenalkan dalam aplikasi TNG eWallet membantu pengguna meneruskan perjalanan walaupun kekurangan baki kredit.
Hasilnya, ciri tersebut menyokong kira-kira 36 juta perjalanan bagi mengurangkan risiko terkandas, sekali gus melancarkan aliran trafik.
Teknologi dibangunkan oleh rakyat Malaysia
Menurut Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go menjelaskan teknologi tersebut dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.
“Apa yang menjadikan Titan Flow begitu bermakna ialah ia lahir dari pemahaman hampir tiga dekad terhadap cara rakyat Malaysia bergerak.
“Fokus kami adalah untuk membangunkan pengalaman yang lancar, boleh dipercayai dan selamat, sambil mengekalkan tahap ketepatan serta akauntabiliti yang diperlukan oleh pengendali lebuh raya.
Kerjasama dengan GWM Malaysia
Ujian lapangan ini turut mendapat kerjasama GWM Malaysia yang menyediakan kenderaan untuk digunakan media sepanjang sesi pandu lalu.
Cui Anqui, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia berkata, “Di GWM, kami melihat masa depan mobiliti sebagai sesuatu yang melangkaui kenderaan semata-mata, ia melibatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
“Kerjasama dengan Touch ‘n Go dalam ujian lapangan Titan Flow mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan mobiliti harian rakyat Malaysia lebih pintar, saling berhubung dan lancar,” ujarnya lagi.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



