Honda Prelude Limited Edition 2027 diperkenalkan di Jepun – 2% lebih mahal berbanding versi standard

Honda Prelude Limited Edition exterior

Honda telah memperkenalkan Prelude Limited Edition 2027, iaitu model edisi khas yang dijadualkan dilancarkan di Jepun pada 20 Ogos 2026. Tempahan kini sudah pun dibuka di semua pengedar Honda di negara itu.

Sejak diperkenalkan pada September 2025, Prelude generasi baharu menerima sambutan yang positif di mana rata-rata pelanggan menggemari rekaan coupe yang rendah, lebar dan sporty.

Honda Prelude Limited Edition exteriorBukan itu sahaja, pengenalan sistem Honda S+ Shift serta ruang kargo jenis hatchback menjadikannya sebuah coupe yang bukan sahaja seronok dipandu, malah cukup praktikal.

Kemasan eksklusif serlahkan imej lebih premium

Apa yang membezakan Prelude Limited Edition ialah warna badan eksklusif Premium Crystal Garnet Metallic, yang menawarkan kemasan merah dengan tona lebih pekat dan berkilau seakan wain merah. Ini berbeza dengan warna Rallye Red yang kelihatan lebih sporty.

Honda Prelude Limited Edition exteriorBagi melengkapkan penampilannya, Honda turut memberikan kemasan gril mengikut warna badan, aksen merah pada bampar hadapan dan belakang, rim aloi hitam serta angkup brek merah.

Kabin serba Bordeaux

Untuk bahagian dalaman, Honda menggunakan gabungan warna Bordeaux dan hitam bagi mewujudkan suasana yang lebih mewah dan matang.

Honda Prelude Limited Edition interiorTempat duduk hadapan menerima balutan gabungan kulit asli dan material Prime Smooth dalam kombinasi Bordeaux dan hitam. Kemasan Bordeaux turut digunakan pada bahagian papan pemuka sebelah penumpang, konsol tengah dengan perehat tangan, perehat tangan pintu serta sulaman logo Prelude, manakala stereng menerima jahitan benang merah.

Harga naik sekitar 2%, tiada perubahan mekanikal

Prelude Limited Edition ditawarkan pada harga 6,306,300 yen (RM161,777), kira-kira 2% lebih mahal berbanding Prelude standard yang berharga 6,179,800 yen (RM158,532).

Walaupun menyaksikan sedikit kenaikan, model edisi khas ini kekal dengan trenkuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Ia merangkumi enjin 2.0-liter empat silinder yang ditugaskan untuk mengecas bateri dan tenaga daripada bateri itu akan disalurkan kepada sebuah motor elektrik gandar hadapan yang menjana 184 PS dan 315 Nm.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved