Ada apa dekat HQ Xpeng di Guangzhou?

Xpeng HQ Guangzhou

Rata-rata kita kenal Xpeng sebagai salah sebuah syarikat automotif yang berasal dari Guangzhou yang sedang meningkat naik.

Tapi tahukah anda, dalam tempoh masa 12 tahun jenama berlogo ‘X’ sudah jauh melangkah ke masa depan dan menjadi antara pemain teknologi yang paling agresif pada ketika ini.

Lawatan kami ke ibu pejabat Xpeng yang terletak di Guangzhou tempoh hari membuktikan Xpeng memang bukan sekadar jenama dengan barisan kereta yang canggih dan futuristik semata-mata.

Sejarah ringkas Xpeng

Xpeng merupakan antara syarikat pemula (startup) yang ditubuhkan pada tahun 2014.

Model pertama mereka Xpeng G3 hanya muncul pada tahun 2018, namun nama mereka hanya mula melonjak menerusi pengenalan sedan elektrik P7 yang disasarkan menjadi pesaing kepada Tesla Model 3.


Kini Xpeng mempunyai rangkaian model yang lebih meluas dan canggih, terdiri daripada sedan (Mona M03, P7 & P7+), MPV (X9) dan SUV (G6, G7, G9 & GX).

Selain kereta, fokus mereka kini tertumpu kepada tiga teras utama, iaitu robot Humanoid IRON, kereta terbang Aridge, dan sistem pemanduan pintar VLA 2.0.

IRON – robot humanoid generasi baharu

Selain daripada barisan kereta-kereta yang canggih, kehadiran kami turut ‘disambut’ oleh robot berbentuk manusia yang digelar sebagai IRON.

Berbeza dengan IRON generasi pertama (2024), IRON generasi baharu menampilkan beberapa penambahbaikan yang membuatkannya mampu meniru pergerakan manusia sebenar.

Antara ciri-ciri robot IRON:

  • berat 65 kg
  • tinggi 173 cm
  • mempunyai 82 Degree of Freedom (DOF), termasuk 22 DOF untuk bahagian tangan sahaja
  • struktur tulang dan otot bionik untuk pergerakan yang lebih natural
  • boleh disesuaikan mengikut bentuk badan dan jantina


Terima kasih kepada penggunaan bateri jenis pejal (solid-state), IRON mempunyai penampilan yang lebih ramping tidak seperti robot humanoid lain yang lebih berisi.

Robot ini pada peringkat awal akan digunakan sebagai pembantu di barisan pengeluaran Xpeng.

Pada masa akan datang, ia bakal diperluaskan penggunaannya ke sektor komersial dan perusahaan.

Aridge – Divisyen kereta terbang


Aridge dulunya dikenali sebagai Xpeng AeroHT, dan kini merupakan usaha Xpeng untuk menjadi peneraju global dalam segmen mobiliti altitud rendah.

Dengan misi utama “Freedom to Fly“, Aridge komited mahu mencipta penyelesaian yang pintar dan selamat yang boleh dinikmati semua orang menerusi teknologi dan inovasi.

Aridge turut mempunyai infratruktur penyelidikan & pembangunan (R&D) di Guangzhou, makmal lanjutan di Shanghai dan pusat pengeluaran seluas 35,000 meter persegi.

Antara produk Aridge yang mencuri tumpuan kami ialah:

Land Aircraft Carrier


Ia merupakan kombinasi van pengangkut 6×6 yang digelar “Mothership” dan modul kereta terbang (eVTOL).

Anda hanya memerlukan lesen memandu standard untuk mengendalikan van enam tayar ini.

Ia menawarkan jarak pandu melebihi 1,000 km, sistem pacuan enam roda, sistem stereng roda belakang serta ruang kabin yang boleh memuatkan 4 orang pada satu-satu masa.

Modul eVTOL pula mempunyai lengan dan bilah kipas yang boleh dilipat, menjadikannya lebih kompak dan boleh disimpan pada bahagian belakang Mothership itu tadi.

Dengan teknologi pengecasan 800V, van Mothership berkeupayaan untuk mengecas eVTOL sebanyak enam kali ketika berada di luar.

A868


Ini pula sebuah ‘kereta terbang’ dengan saiz badan yang paling besar berbanding eVTOL yang ada di dalam dewan pameran Aridge.

Tidak banyak info yang dikongsikan, melainkan sistem hibrid dengan jarak terbang boleh melebihi 500 km.

A868 boleh memuatkan sehingga enam orang penumpang dan mampu mencapai kelajuan terbang melebihi 360 km/j.

Ia juga boleh berlepas dan mendarat secara menegak tanpa memerlukan landasan yang panjang seperti kapal terbang penumpang biasa.

VLA 2.0 – Teknologi Pemanduan Pintar


VLA 2.0 merupakan senibina teknologi pemanduan pintar generasi baharu Xpeng yang digunakan dalam sistem XNGP (Navigation Guided Pilot).

VLA (Vision-Language-Action Model) menggabungkan penglihatan, pemahaman bahasa dan kawalan tindakan di mana ia menerima input visual dan menghasilkan arahan secara terus.

Antara kelebihan VLA 2.0 ialah ia berpotensi untuk mencapai pemanduan autonomi Tahap 4 setanding dengan sistem FSD Tesla tanpa perlu bergantung kepada sistem pemetaan HD.

Ia juga menawarkan respons yang lebih pantas, pergerakan yang lebih natural dengan tahap ketepatan tinggi dan berupaya membuat keputusan yang lebih bijak.

Dengan menggunakan latihan simulasi dunia sebenar, sistem ini boleh mengesan objek keliling secara terperinci seperti pejalan kaki, skuter elektrik, lampu isyarat kenderaan lain serta lampu isyarat trafik.


Buat masa ini, VLA 2.0 digunakan dalam Robotaxi XPENG GX, dan bakal diperluaskan ke peringkat global menjelang 2027.

Cip Turing AI – Satu “Otak” untuk Semua


Persamaan antara ketiga-tiga IRON, Aridge dan VLA 2.0 ialah semuanya berkongsi satu “otak” yang sama, iaitu cip pemprosesan Turing AI.

Cip pemprosesan 40-teras ini mempunyai prestasi setara dengan tiga cip Nvidia Drive Orin X dengan kuasa perkomputeran 750 TOPS (Trillion Operations Per Second).


Ia juga mempunyai dua Neural Processing Unit (NPU) untuk AI berskala besar dan Visual Language Models.

Dalam robot IRON dan Xpeng P7+, tiga cip Turing AI digunakan dengan kemampuan memproses sehingga 2,250 TOPS.


Sementara Robotaxi pula menggunakan empat unit cip dengan kemampuan memproses 3,000 TOPS untuk operasi tanpa pemandu.

Dengan satu otak yang sama, Xpeng boleh membina satu ekosistem mobiliti yang benar-benar bersepadu dan dalam masa yang sama menjimatkan kos pembangunan.

Xpeng bukan sekadar pengeluar kereta elektrik


Peluang melawat ibu pejabat Xpeng di Guangzhou ini benar-benar membuka mata kami terhadap pencapaian jenama yang baru berusia 12 tahun ini.

Xpeng bukan lagi sekadar pengeluar kenderaan elektrik, mereka kini merupakan gergasi teknologi yang sedang membentuk masa depan mobiliti.

Dengan teknologi robot IRON, kereta terbang Aridge dan sistem VLA 2.0, Xpeng kini berada jauh di depan pesaing-pesaingnya.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved