Liberty Walk lancar papan kekunci mekanikal JDM pertama di dunia, 500 unit sahaja
Pada tahun lepas di Tokyo Auto Salon 2023, syarikat penala terkemuka Jepun Liberty Walk mendedahkan projek badan lebar yang paling kontroversi untuk dipadankan pada supercar klasik Ferrari F40.
Ada yang suka dengan pendekatan yang dibawakan oleh Liberty Walk, tidak kurang juga yang mengeji.
Namun apa yang pasti, projek Ferrari F40 berbadan lebar itu ternyata mampu mencuri tumpuan umum, terutama dengan layangan warna putih berserta kehadiran grafik bendera Jepun di bahagian sisi.
Semangat yang dibawakan oleh Ferrari F40 Liberty Walk itu diteruskan lagi dengan pengenalan produk baharu – sebuah papan kekunci mekanikal menerusi kerjasama dengan Original Konbini.
Disifatkan sebagai papan kekunci mekanikal JDM yang pertama di dunia, ia hanya terhad kepada 500 unit sahaja apabila dilancarkan secara rasmi pada 31 Disember ini.
Kerangka papan kekunci ini dibina daripada dua blok aluminium, sebelum dikemaskan dengan warna putih pudar, aksen warna merah, grafik bendera Jepun, sistem pencahayaan RGB dan menggunakan sambungan wayar USB-C.
Setiap pembelian papan kekunci kompak ini akan disekalikan dengan alas pelapik yang boleh digunakan untuk mempamerkan koleksi kereta diecast peribadi di atas meja.
Liberty Walk tidak mendedahkan harga jualan sebenar papan kekunci mekanikal ini, namun frasa “edisi terhad” itu sudah cukup untuk membuatkan anda faham harganya mampu mengoyak-rabakkan poket anda.
Ferrari F40 Liberty Walk
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.