Honda Malaysia pamer model e:N1 di KLIMS 2024, bakal dilancarkan 2025?
Bertempat di KLIMS 2024, Honda Malaysia bukan sahaja membawakan model konsep coupe Honda Prelude, akan tetapi terdapat juga sebuah SUV berkuasa elektrik – Honda e:N1.
Walaupun membawakan rupa paras yang sama seperti Honda HR-V, e:N1 menggunakan platform e:N Architecture F yang menawarkan struktur badan yang lebih tegar, titik graviti lebih rendah dan bahagian bawah badan aerodinamik.
Ia dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 201 hp dan 310 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 68.8 kWh.
Untuk sekali cas penuh, e:N1 boleh bergerak sejauh 412 km.
Membezakan e:N1 dengan HR-V yang standard ialah kehadiran slot pengecasan yang menggantikan struktur jeriji hadapan, diikuti dengan perkataan Honda menggunakan fon huruf yang lebih moden di belakang.
Susun atur ruang kabin e:N1 juga tampil lebih berbeza berbanding HR-V, di mana ia didatangkan dengan skrin tengah sebesar 15 inci, skrin kluster digital 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan secara rasmi perincian spesifikasi bagi e:N1 untuk pasaran tempatan.
Namun begitu, ia bakal menjadi EV pertama yang dibawa masuk secara rasmi oleh Honda Malaysia apabila model tersebut dijadualkan pelancarannya pada tahun hadapan (2025).
Untuk makluman, Honda telah pun memulakan produksi bagi SUV elektrik Honda e:N1 di kilang yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand pada penghujung tahun 2023.
Persoalan sebenar, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Honda Malaysia untuk model e:N1 ini? Honda HR-V varian e:HEV yang ada di pasaran Malaysia pada ketika ini dijual pada harga RM140,800.
Honda e:Ny1 (UK)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.