fbpx

McLaren W1, pewaris sah F1 & P1, 399 unit sahaja atas bumi

McLaren W1 2025 04

Ucapkan selamat datang kepada McLaren W1, pewaris moden kepada model-model siri “1” McLaren masa lepas iaitu McLaren F1 dan juga P1.

McLaren W1 dikuasakan oleh enjin bentangan V8 satah rata 90 darjah berkapasiti 4.0 liter turbo berkembar serba baharu (kod MHP-8) yang mempunyai garis merah 9,200 rpm.

Dipadankan dengan E-Module 342 hp yang dipinjamkan daripada sukan IndyCar dan Formula Satu, McLaren W1 secara keseluruhan mampu menjana kuasa setinggi 1,258 hp dan daya kilas 1,340 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan nisbah kelajuan.


Ini menjadikannya supercar McLaren yang paling berkuasa pernah dihasilkan.

Dengan berat sekitar 1,399 kg, W1 juga mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang paling terbaik dalam kelasnya, iaitu 899 hp/tan.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang untuk mencatatkan pecutan 2.7 saat (0-100 km/j), 5.8 saat (200 km/j) dan 12.8 saat (300 km/j) sebelum mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.

E-Module yang disebutkan itu tadi adalah lebih ringan berbanding unit yang terdapat dalam model P1.

Pek bateri hanyalah berkapasiti 1.384 kWh untuk jarak gerak sifar emisi sejauh 2.6 km.

Namun, ia sudah lebih daripada memadai memandangkan motor dan bateri itu tadi turut digunakan untuk mod undur.

Aspek aerodinamik aktif yang wujud pada model W1 ini banyak diinspirasikan daripada jentera lumba F1 mereka, dengan jumlah masa lebih 350 jam dihabiskan di dalam terowong angin.

Ketika dalam mod perlumbaan, McLaren W1 boleh ‘berubah bentuk’ di mana sayap belakang Active Long Tail mampu bertindak sebagai komponen brek udara dan sayap DRS.

Selain itu, jentera ini boleh direndahkan sebanyak 37 mm di depan dan 17.8 mm di belakang dalam mod yang sama.

Dengan sistem sayap aktif dan Active Chassis Control III, McLaren W1 ini berupaya menjana daya mendap setinggi 350 kg di depan dan 650 kg di belakang, dengan jumlah keseluruhan daya mendap sehingga 1,000 kg pada selekoh berkelajuan tinggi.

Jentera seberat 1,399 kg ini menggunakan sistem brek seramik karbon dengan angkup enam omboh pada gandar depan, diikuti angkup empat omboh di belakang.

Jarak pemberhentian cuma 29 meter dari 100 km/j ke pegun, atau 100 meter dari kelajuan 200 km/j.

Secara standard, McLaren W1 ini dilengkapi dengan balutan getah Pirelli P Zero Trofeo RS bersaiz 265/35 di depan dan 335/30 di belakang.

Untuk kegunaan jalanan, McLaren menawarkan tayar P Zero R atau P Zero Winter 2.

Ruang kabin W1 pula dilengkapi dengan roda stereng yang ringkas, diikuti skrin tengah sebesar lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, slot pengecas USB-A dan C, serta ruang storan kecil di belakang tempat duduk.

Hanya 399 unit sahaja McLaren W1 yang akan diproduksikan, setiap satu berharga dari $2.1 juta (RM8.87 juta) dan (berita buruk) kesemua unit telah pun habis terjual.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved